PENYANYI kelahiran Singapura, Asya’B, tidak menyangka tindakannya menghantar mesej langsung (DM) kepada komposer terkenal, Zul 2By2, membawa tuah dalam karier seninya di Malaysia.
Asya atau nama sebenarnya Nurasya Abdul Rahim, 34, berkata langkah berani itu membuka peluang luas untuknya mengembangkan bakat dan mengukir nama dalam industri muzik tanah air.
“Saya memang mengikuti ‘live’ TikTok abang Zul. Selepas meninggalkan komen dan mesej, dia menjemput saya untuk ‘naik kotak’ dan berinteraksi secara langsung.
“Suatu hari, dia beritahu ingin menyanyikan lagu Marah Bukan Sifatku dari New Boyz, yang rupanya karya ciptaannya sendiri.
“Saya pun tanya dengan dia apa prosedur untuk nak buat lagu. Pada awalnya dia tak bertanya jika saya ada lagu ciptaan sendiri,” katanya.
Tambahnya, dia pada awalnya menganggap Zul sekadar penyanyi popular, tetapi terkejut mengetahui bahawa Zul adalah komposer di sebalik banyak lagu hit yang diminatinya sejak kecil.
“Sejujurnya, saya ingat abang Zul ini hanyalah seorang penyanyi yang popular dengan lagu Kau Mawarku saja.Tapi bila dia sendiri mengaku yang dia juga antara pencipta lagu dan banyak hasil karyanya popular, saya memang gembira sangat-sangat!
“Selepas beberapa hari, abang Zul bertanya kepada saya kalau ada lagu ciptaan sendiri. Jadi, saya pun berikan lagu Sayang Padamu yang saya sendiri tulis ketika berusia 16 tahun.
“Saya menyanyikan secara akustik menggunakan gitar. Alhamdulillah abang Zul sukakan lagu tersebut dan dia buatkan sebuah demo yang cukup indah untuk saya,” ujarnya.
Selain aktif sebagai penyanyi, Asya juga merupakan seorang guru besar tadika di Singapura, dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pendidikan.
Pun begitu, kecintaannya terhadap muzik tidak pernah pudar.
“Saya sudah bergelar seorang tenaga pendidik sejak sekitar 15 tahun lalu, bidang pendidikan adalah jiwa saya, namun muzik tetap menjadi minat utama sejak kecil.
“Ketika sekolah, saya sering sertai pertandingan muzik dan pernah memenangi Gold With Honours dalam kategori trombone di Singapore Youth Orchestra (SYF) pada 2005,” jelasnya.
Menembusi industri Malaysia merupakan satu impian besar buat Asya. Pada pandangannya, pasaran muzik di Malaysia jauh lebih besar dan memberi peluang lebih luas berbanding Singapura.
“Saya nampak potensi yang besar di Malaysia. Walaupun pasaran muzik di Singapura agak tinggi, namun persaingannya amat sengit,” katanya yang pernah dicalonkan dalam kategori Nova Media Baru di Anugerah Planet Muzik 2012.
Mempertaruhkan single berjudul Sayang Padamu, Asya’B berbangga kerana lagu tersebut turut mendapat sentuhan terbitan daripada Zul dan Bajai selain berharap bakal mendapat tempat di hati peminat.
Dengan keberanian dan keyakinan yang dipupuk melalui pengalaman, Asya kini optimis untuk terus melakar kejayaan di Malaysia sambil melangkah lebih jauh dalam bidang seni. – HIBGLAM.