KILAUAN Emas 2024 melabuhkan tirainya dengan kemenangan penuh inspirasi apabila Gie, seorang pejuang kanser payudara tahap tiga dinobatkan sebagai juara pertandingan berkenaan, malam tadi.
Peserta berusia 47 tahun dari Mersing, Johor itu berjaya mengalahkan finalis lain menerusi persembahan mantap yang memukau penonton dan barisan juri profesional.
Dalam saingan akhir pusingan pertama, Gie atau nama sebenarnya, Roziah Abd. Hamid mempersembahkan lagu bertajuk Kau Pergi Tanpa Pesan nyanyian asal Sharifah Aini dengan penuh lenggok dan keyakinan, sekali gus menundukkan lima pesaing lain.
Pada pusingan duet pula, Gie bergandingan dengan Sidi menerusi lagu Jangan Menangis Sayang nyanyian asal Safura dan Oney yang menyentuh hati ramai sekali gus memperlihatkan ‘chemistry’ yang kuat antara satu sama lain.
Persembahan tersebut mendapat tepukan gemuruh dan komen positif daripada juri yang menyifatkan mereka berdua sebagai ikon sebenar Kilauan Emas.
Sebagai juara, Gie membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, trofi Kilauan Emas, serta pakej percutian tiga hari dua malam di Garden Chalet.
Terus mendakap tuah, Gie juga turut menggondol anugerah Emas Berkilau Of The Week.
“Terima kasih kepada keluarga dan peminat yang tidak jemu menyokong saya.
“Walaupun suami tidak dapat hadir tapi ayang sudah jadi juara abang!,” katanya dengan penuh emosi.
Naib juara, Sidi, pula menerima wang tunai RM10,000, trofi sumbangan Astro, pakej umrah serta pakej percutian 3 hari 2 malam di Garden Chalet.
Ina di tempat ketiga pula membawa pulang wang tunai 5,000 trofi sumbangan Astro, pakej eksklusif umrah dan pakej percutian 3 hari 2 malam di Garden Chalet.
Peserta di tempat keempat hingga keenam, iaitu Sue, Wan, dan Ron juga tidak pulang dengan tangan kosong.
Masing-masing menerima wang tunai RM3,000, sebuah trofi sumbangan Astro, dan pakej percutian 3 hari 2 malam di Garden Chalet.
Persembahan keenam peserta diadili juri profesional yang terdiri daripada Erra Fazira, Datuk Hattan dan Edry Abd. Halim.
Kilauan Emas edisi 2024 dihoskan Elly Mazlein manakala Joey Daud bertindak sebagai pengacara belakang pentas dan diari Kilauan Emas. – HIBGLAM