SEORANG penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pagi semalam.
Difahamkan, kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 25 hingga 34 tahun tersebut ditahan di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan di bahagian bawah hotel tersebut.
Sumber berkata, ketika serbuan pada pukul 5 pagi tersebut mereka sedang berehat di dalam bilik.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut pihak polis Thailand menemukan kira-kira 6,000 biji pil dipercayai pil kuda.
“Pihak berkuasa Thailand kemudian telah menahan dan membawa kesemua rakyat Malaysia tersebut ke Balai Polis Sungai Golok,” kata sumber tersebut.
Dalam pada itu, Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tahanan rakyat Malaysia tersebut. – HIBGLAM