MENGGUNAKAN kaedah ibu tumpang untuk mendapat cahaya mata merupakan hal terlarang dalam Islam.
Sedar hukum-hakam agama, pengarah Eyra Rahman menyahut cabaran dalam memberikan pendedahan agar tiada pasangan beragama Islam terjebak kaedah sebegitu biarpun berniat baik untuk mendapatkan zuriat.
Mengetahui kisah tersebut bakal mendapatkan tentangan besar daripada masyarakat, Eyra cuba menterjemahkan kisah pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat dengan cara sedemikian sebaik mungkin.
“Ketika saya mendapatkan skrip ini memang fikir ini satu hal yang mustahil kerana menggunakan khidmat ibu tumpang haram dalam Islam. Saya bimbang akan dikecam teruk dan dituduh seperti tiada agama kerana buat cerita sebegini.
“Namun, setelah membuat penelitian dan perbincangan kerana bimbang akan tersasar daripada tujuan sebenar. Tujuan naskhah ini dihasilkan kerana ingin memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak memilih jalan sebegitu.
“Beberapa dialog yang menekankan bahawa perbuatan ibu tumpang ini haram dan tidak dibenarkan dalam Islam. Namun, disebabkan mengikut nafsu dan keinginan mempunyai zuriat tanpa perlu poligami, maka terhasillah Senyawa,” katanya tentang naskhah Senyawa yang ditayangkan menerusi iQiyi sejak 25 Oktober lalu.
Drama Senyawa menampilkan barisan pelakon antaranya Shahz Jaszle, Trisha Ooi, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Aleza Shadan dan Heryanto Hassan.
Tentangan
Selaku bintang utama, Trisha tidak menafikan naskhah berkenaan memberikan sudut pandang baharu dalam kerjaya lakonannya.
Pertama kali membawakan watak ‘berat’, Trisha memberitahu, karakter Zabrina lakonkannya banyak memberi cabaran dalam sudut emosi.
“Zabrina ini seorang wanita yang sudah berumah tangga dan berkerjaya. Boleh dikatakan sebagai seorang usahawan yang berjaya dan ‘sempurna’ di mata masyarakat.
“Namun, disebabkan masalah kesihatan, dia tidak boleh hamil sekali gus memenuhi kehendak ibu mentuanya iaitu Datuk Asmida (Nina Juren) yang menginginkan cucu.
“Akui sukar untuk mendapatkan anak, Zabrina tetap ego dan menolak untuk hidup bermadu. Sebaliknya dia memilih untuk ‘mengejar’ sesuatu yang haram. Watak ini sangat mencabar kerana saya ingin tunjukkan kepada penonton bahawa perkara haram itu tidak boleh dihalalkan,” jelasnya.
Sedar dirinya berkemungkinan mengundang kebencian penonton, Trisha tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menolak naskhah Senyawa.
“Saya sedar Zabrina ini akan membuatkan orang benci, tetapi tujuan utama saya ialah untuk memberikan pengajaran bahawa keinginan Zabrina untuk mendapatkan anak dengan cara ibu tumpang itu satu hal yang haram.
“Paling utama, khalayak dapat melihat mesej sebenar cerita ini,” terangnya bersungguh-sungguh.
Sementara itu bagi Hariesa, permainan emosi yang dialami Lutfiyah (watak lakonan) membuatkan dirinya ingin memberikan impak luar biasa kepada penonton.
Begitu juga pertama kali membawakan watak ‘air mata’, Hariesa tidak menafikan peranan sebagai ibu tumpang itu secara tidak langsung membuka matanya tentang gelora perasaan wanita hamil.
“Memang ibu tumpang ini haram dalam Islam, tetapi apabila kita melihat kepada tanggungjawab wanita yang menjadi ibu tumpang juga bukan satu hal mudah.
“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk perasaan dan permainan emosi apatah lagi dia perlu ‘meminjamkan’ rahimnya untuk wanita lain,” ujar Hariesa.
Dalam pada itu, Pengurus Besar iQiYi Malaysia & Singapura, Jony Deng mengharapkan agar naskhah tersebut bukan sahaja menarik perhatian khalayak, tetapi turut dijadikan sebagai pedoman pada masa hadapan.
“Saya juga berharap agar penonton dapat berhibur dengan jalan ceritanya yang penuh emosi di samping kualiti lakonan barisan pelakon handalan dan bakal meninggalkan impak kepada industri seni tempatan,” katanya. – HIBGLAM