Mak pesan jaga Shila dengan baik, nikah 5 Ogos – Ubai

MEMENUHI hasrat arwah bonda tercinta, pempengaruh media sosial, Ubai akan meneruskan pernikahan dengan tunangnya yang juga penyanyi Shila Amzah pada 5 Ogos ini.

Perkara tersebut dikongsikan Ubai yang memaklumkan ibunya, Allahyarham Rohani Jamal, 52,meninggalkan pesanan meminta mereka jangan menangguhkan perkara baik yang sudah dirancang lama itu.

“Mak antara orang paling gembira menunggu detik kami disatukan, malah walaupun dalam keadaan kurang sihat dia selalu tanya persiapan hari nikah kami.

Boleh dikatakan satu hospital tahu mak mahu kami teruskan majlis itu dan perkara sama juga dibualkan dengan saudara-mara yang datang melawat.

“Kami akan ikut pesanan mak untuk melangsungkan pernikahan pada 5 Ogos ini yang bakal diadakan di sebuah dewan acara, tetapi hanya membabitkan ahli keluarga terdekat,” katanya kepada HibGlam.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ubaidillah (@ubaimz)

Menurut Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Rohani Jamal, 52, yang menghembuskan nafas terakhir kelmarin sememangnya memberi kesan besar terhadap dirinya.

Namun, semangat yang ditinggalkan wanita dihormatinya itu terutama berjuang melawan kanser ovari dihidapinya sejak Disember tahun lalu membuatkannya reda.

Akui personaliti popular berusia 25 tahun itu, memori serta pesanan Allahyarham ibu terutama menjaga Shila serta keluarganya dengan baik akan dipenuhi.

Mak memang sayangkan Sha (Shila). Sepanjang di hospital boleh dikatakan setiap hari Sha menjaganya, begitu juga dengan adik. Ini bakti kami untuk mak yang kami sayang.

Ditanya mengenai majlis resepsi, akui Ubai perancangan sudah ada tetapi belum dapat diputuskan lagi sama ada meneruskan atau menangguhkan dahulu persandingan.

Buat masa ini kami mahu dahulukan perkara wajib. Bersanding pula kita tengok keadaan macam mana,” tambahnya yang sudah melengkapkan urusan dokumentasi.

Terdahulu, Ubai dan penyanyi Memori Tercipta itu bertunang dalam majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat pada 27 Mei lalu.

Shila dalam wawancara terbaru pula memaklumkan perancangan pernikahan bergantung kepada tahap kesihatan bakal ibu mentuanya yang dimasukkan ke hospital sejak 8 Julai lalu susulan pendarahan dalam rahim.

Allah lebih menyayangi Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 30 Julai lalu, tepat pukul 6.45 petang.

Shila yang juga ibu tunggal pernah mendirikan rumah tangga pada 2018 dan dikurniakan seorang anak, Seth Uwais, empat tahun. Namun perkahwinannya berakhir tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok