NAMA Shasha Abedul boleh dikatakan masih asing dalam kalangan kaki drama meskipun hadir dengan pakej lengkap.
Seperti menghilang seketika dari radar seni tanah air, status hayat seni Shasha menimbulkan pelbagai spekulasi. Ada yang mendakwa dirinya sudah tidak lagi berkeinginan untuk berlakon.
Berpeluang bertemu empat mata dengan pelakon berusia 28 tahun itu, penulis sempat bertanyakan keadaan diri dan atas alasan apa kariernya seperti ada tetapi tiada.
Merungkai persoalan, Shasha mengakui pernah mengalami gangguan mental, kemurungan dan serangan panik tiga tahun lalu.
Semua itu memaksa dirinya mendapatkan rawatan pakar psikologi dan menjalani terapi.
Tiga tahun lalu, saya mengalami gangguan mental, depresi, keresahan dan serangan panik tetapi tidaklah sampai tahap nak cederakan diri sendiri.
“Setahun pertama, saya tak tahu macam mana nak kawal kemelut emosi.
Sebagai solusi, saya jumpa ahli terapi dan pakar psikologi untuk kenal pasti dan macam mana nak tangani masalah,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai masalah dihidapi, Shasha pernah mengalami halusinasi selain mendengar bisikan dalam kepalanya.
Membimbangkan, namun mujurlah semua masalah dapat diatasi.
“Saya pernah sampai pada satu tahap boleh dengar suara tak diketahui dalam kepala.
Sangat teruk malah saya tak tahu siapa yang cakap tu.
“Perkara itu berlaku selama tiga minggu sebelum saya nak tunaikan umrah tahun lalu,” dedahnya.
Tambah pelakon filem Dendam Penunggu, kini keadaan kesihatannya semakin baik, namun enggan bergantung ubat saranan doktor memandangkan dia turut menjalani sesi terapi.
Doktor bagi saya makan ubat. Tapi saya tak makan kerana saya tak mahu bergantung pada ubat sebab itu saya jumpa ahli terapi.
“Jadi, saya dapat keseimbangan dari situ. Pakar psikologi, dia doktor yang memang akan bagi ubat. Kalau buat terapi, kita boleh kongsi apa yang kita rasa,” jelasnya.
Mengenai sikap sesetengah pihak yang skeptikal tentang rawatan sokongan, Shasha berkata perkara itu bergantung kepada individu.
Secara peribadi, mendapatkan rawatan adalah langkah terbaik untuk membantunya sembuh daripada terus dibelenggu masalah jiwa.
Setiap masalah ada penyelesaiannya. Kalau tak banyak, sikit supaya dapat bantu diri sendiri.
“Kalau kita jumpa orang yang lebih faham masalah, yang tidak boleh nampak dengan mata kasar, saya rasa itu jalan terbaik,” kongsinya.
Bercakap mengenai perkembangan terkini, wanita kecil molek itu bakal tampil dalam drama bersiri Project: Exit yang akan menemui penonton pada 1 November depan.
Selain Shasha, pelakon lain yang terlibat dalam naskhah berkenaan termasuklah Mierul Aiman, Naim Daniel, Kimberly Chuah, Nabila Huda dan Farah Ahmad. – HIBGLAM