‘Selagi bernama manusia, nilai sejagat tetap saya pegang’

LEMBUT dan bersahaja kata-kata yang keluar daripada bibir penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha apabila mendakwa dirinya antara insan tidak bertuah dalam percintaan.

Kisah cinta Daiyan tidak seperti kerjaya seninya yang sentiasa dihujani satu demi satu tawaran mewakili jenama antarabangsa. Hanya luka sentiasa menoreh pangkal hatinya.

Kurang serasi, tidak secocok dan  saling berbeza pandangan antara isu berbangkit yang merosakkan hubungan sehingga membawa kepada perpisahan.

Enggan mendedahkan identiti bekas-bekas kekasih, pemilik nama lengkap Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 31, melihat situasi tersebut dari sudut positif.

“Mungkin sebab saya ‘gila’ kerja, masa saya sentiasa terisi dengan pelbagai tugasan dan kerap ‘terbang’ ke luar negara memenuhi tugasan.

“Saya juga wanita mandiri yang meletakkan impian di posisi paling hadapan, sekali gus mendorong saya fokus terhadap kerja.

“Mungkin itu penyebab lelaki yang singgah dalam hidup saya sukar memahami keadaan, tetapi saya tetap percayakan ketentuan Allah, jodoh akan datang jua,” katanya sambil tersenyum.

Daiyan menulis lara hati dan pengalaman cintanya menerusi sebuah album penuh berisi 11 buah lagu.

Rahsiakan identiti

Menyimpan kemas nama mahupun latar belakang bekas-bekas kekasih, Daiyan tidak menolak antaranya adalah lelaki dalam industri seni.

Dalam soal lelaki dambaan, Daiyan juga tidak meletakkan sebarang syarat sebaliknya hanya mengharapkan lelaki kuat agama sebagai jodohnya.

“Saya tidak meletakkan usia untuk kahwin, tapi mungkin ada had umur memiliki anak sebab itu melibatkan biologi dan kesihatan.

“Cuma buat masa ini saya tak terfikir lagi fasal zuriat. Kalau saya jumpa dengan orang yang serius, saya terbuka dan sedia untuk berkahwin. 

“Saya sudah malas nak melalui fasa bercinta terlalu lama. Kalau serius, jom kahwin,” ujarnya yang pernah meletakkan sasaran berkahwin pada usia 25 tahun.

Setahun solo

Mengakui sudah setahun takhta hatinya  ‘kosong’ tiada bertuan, Daiyan menzahirkan segala isi lubuk jiwanya menerusi album baharunya, Lovelorn yang seumpama sebuah diari pasang surut epilog cintanya.

“Dalam Lovelorn ada 11 lagu, paling lama saya simpan adalah karya yang saya tulis pada 2019. Nukilan terbaharu ditulis beberapa minggu sebelum masuk studio.

PERNAH meletakkan sasaran ingin menamatkan zaman solo pada usia 25 tahun, namun sehingga kini, pda usia 31 tahun Daiyan masih belum bertemu calon suami.

“Mungkin ada tiga atau empat lagu yang saya tulis ketika pandemik dan kebetulan waktu itu pun saya ada melalui fasa berkaitan hubungan cinta.

“Tahun ini, lagu Lovelorn merupakan trek terakhir yang saya tulis sekali melengkapkan pembikinan album ini,” kongsinya.

Berkongsi lagi mengenai pembikinan Lovelorn, Daiyan menyifatkan luahan perasaan menerusi lagu dan puisi mampu mendekatkan dirinya dengan khalayak.

“Pernah satu ketika saya seperti nak luahkan kesemua kesedihan dan lara dalam lagu yang mampu memberi kelegaan kepada hati.

“Pada masa sama saya tahu ada ramai di luar sana yang berdepan situasi serupa. Itu yang menguatkan lagi penghasilan Lovelorn.

“Buat yang pernah ada dalam hati saya, kalau dengar lagu dalam album ini, mereka akan tahu siapa yang saya maksudkan  Saya seorang pencerita dan saya bercerita dalam lagu,” katanya.

Artis elit

Tidak terus larut dalam cerita cinta, topik beralih pula kepada kerjaya seninya yang tidak pernah merudum sejak terjun ke arena seni lebih sedekad lalu.

Ketika ini, jelitawan asal Bangi, Selangor itu berada dalam kelompok artis elit apabila kerap menjadi rebutan jenama antarabangsa.

Melihat kredibiliti diraih dan keberadaan dalam kelas tersendiri,  Daiyan sebenarnya tidak pernah menyombong.

Bersyukur diberi kepercayaan, katanya setiap tawaran diraih terutama membabitkan jenama antarabangsa tetap ditapis.

“Selagi kita bernama manusia, nilai sejagat tetap saya pegang lebih-lebih lagi membabitkan saudara seagama yang berdepan kekejaman Israel.

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana, kita sama-sama berdoa agar kesengsaraan mereka dapat dihentikan,” ujarnya.

KEGILAAN terhadap karier dan meletakkan impian peribadi sebagai perkara nombor satu dalam hidup mungkin menjadi penyebab tiada yang mampu memahami dan bertahan sebagai kekasihnya. 

Dalam perkembangan lain, Daiyan turut teruja apabila bakal tampil dengan sebuah persembahan mini diberi judul Showcase Daiyan Trisha Live di Aurum TRX Kuala Lumpur pada 1 dan 2 November ini.

Menurutnya, persembahan khas tersebut sebagai tanda kesungguhan terhadap arena muzik sekali gus mengumpulkan peminatnya.

“Setakat ini saya masih belum boleh berkongsi perincian showcase tersebut tetapi tentu sahaja ini merupakan persembahan yang sangat dekat dengan pendengar.

“Saya sendiri tidak sabar menunggu tarikh istimewa itu kerana banyak segmen yang kami rancang buat penonton,” luahnya menutup bicara.

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok