Populariti tidak menyebelahi kami – Puteri Khareeza

TEGUH berdiri. Itulah frasa yang sesuai menggambarkan perjuangan Puteri Khareeza dalam membina nama demi minat mendalam terhadap dunia nyanyian.

Sejak kecil, dia sudah menyertai pelbagai pertandingan semata-mata mahu menonjolkan bakat serta kemampuan vokal kepada umum.

Selepas pelbagai usaha bagi mengukuhkan nama seakan-akan kurang menjadi apabila orang masih tertanya-tanya siapa gerangan Puteri Khareeza, dia tetap gigih melangkah.

Pemilik nama lengkap Puteri Aszfaryna Khareeza Arif itu enggan ‘pusing’ perihal populariti kerana lebih memahami tentang proses jatuh bangun sebagai seorang penggiat seni.

SEJAK berada dalam dunia seni, Puteri akui sering bergelut dengan nasib dan bagaimana mahu membawa diri dalam industri seni.

“Saya antara anak seni yang tidak pernah lelah menyertai bermacam-macam pertandingan nyanyian demi mengejar impian masuk ke industri muzik.

“Artis seperti saya ini lebih susah bergelut dengan hasrat membina kerjaya kerana adakalanya populariti tidak menyebelahi kami.

“Contohnya sehingga kini orang tak tahu pun siapa di sebalik lagu Duka Di Sebalik Tawa, runut bunyi untuk drama Melur Untuk Firdaus. Mungkin ada (yang kenal), tetapi tidak secara meluas.

“Namun, saya faham kerana segalanya perlukan masa.

“Penyanyi yang lahir dari program realiti juga hakikatnya paling susah nak membawa diri, itu juga antara yang saya alami,” katanya kepada HibGlam.

Pengamal undang-undang

Tidak hanya menumpukan kerjaya kepada nyanyian dan lakonan, Puteri turut menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di sebuah universiti awam demi masa depan lebih terjamin.

“Saya bukan artis ‘fast track’ meskipun dari kecil sudah menyanyi. Saya pun bergelut dengan nasib dan cuba bawa diri dalam industri seni ini terutama dalam usaha agar orang nampak kehadiran saya.

“Tak boleh cuma bersandar pada minat menyanyi semata-mata dan ini juga menjadi sebab mengapa saya tetap mahu ke menara gading sebagai satu daripada plan B,” ujarnya.

MESKIPUN sibuk dengan kerjaya seni, pelajaran dan tanggungjawab sebagai isteri, Puteri bersyukur memiliki sistem sokongan hebat daripada suaminya.

Puteri yang perlu fokus kepada pelajaran juga berusaha keras untuk kerjaya seni dan menjaga keharmonian rumah tangga yang baru dibina Februari lalu.

Bagi wanita berusia 26 tahun itu, semuanya mampu dilakukan dengan baik apabila mempunyai sistem sokongan yang kuat daripada orang tersayang.

“Saya sebenarnya seronok bila dapat menyanyi, berlakon dan belajar kerana semua itu adalah minat yang ada dalam diri. Saya jenis yang tak boleh duduk diam, kena juga bekerja.

“Suami paling banyak menyokong dan memahami sebab itu saya tak pernah rasa tertekan untuk menyusun serta membahagikan masa untuk buat semua itu.

“Jika saya ada peluang berehat contohnya sehari, saya akan betul-betul gunakan masa tersebut untuk rehat,” jelas anak jati Kuala Lumpur itu.

Ditanya tentang harapan dalam bidang nyanyian, Puteri percaya akan ada pelangi selepas turunnya hujan suatu hari nanti.

“Saya nak cabar diri sebab tahu boleh menyanyi tetapi dalam masa sama saya mahu belajar jadi insan terbaik.

“Kalau saya berhenti menyanyi lagilah tidak boleh ke mana-mana walaupun punya bakat.

“Saya mahu kembangkan lagi kebolehan dengan banyak buat latihan sebab saya percaya selagi kita rajin akan ada ganjaran kelak,” ujarnya.

TUJUAN Puteri mengadakan showcase adalah untuk menunjukkan kebolehannya menyanyi secara langsung atau live.

Selepas lama meneroka dunia seni, tahun ini naib juara Idola Kecil musim ketiga itu optimis untuk menganjurkan showcase berjudul Sebenar di RCD, Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November depan.

Persembahan tersebut merupakan buah tangan buat peminat yang sekian lama menyokong karier nyanyiannya selain mahu menunjukkan bakat muziknya kepada umum.
“Mungkin inilah peluang dan masa untuk saya menonjolkan diri. Saya tidak pernah tentukan had masa mahu dikenali kerana saya ikut kadar dan kemampuan diri.
“Malah, saya tak mahu cuma dikenali sebagai penyanyi lagu runut bunyi. Jadi, sebab itulah saya nak buktikan yang saya boleh nyanyi secara ‘live’.
“Ramai sebenarnya yang memberikan sokongan supaya adakan showcase, terutama teman ketika program realiti, Idola Kecil dan peminat,” tuturnya.
Keberanian Puteri untuk mengadakan showcase harus diberi pujian kerana menunjukkan langkah mula untuk terus melakar pelbagai sejarah peribadi.
Showcase yang bakal menghimpunkan 300 peminat tersebut akan disertai beberapa rakan seperjuangannya seperti Ameerais, Adi Priyo, Maria, Hariz Faheyat dan Zazo Maulana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok