DIFITNAH mengaitkan nama Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pelawak Shuib mahu bersemuka dengan individu yang menyebarkan dakwaan dia ‘menunggang’ nama isteri itu.
Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad, 40, berkata, dia enggan menerima permohonan maaf individu terbabit yang mudah melemparkan fitnah.
Kau cari aku sebelum peguam aku cari kau!
“Senangnya ya (minta maaf), tunggu peguam aku hubungi kau,” katanya dalam InstaStory.
Dalam hantaran tersebut, Shuib berkongsi tangkap layar perbualan antaranya dengan wanita berkenaan.
Bagaimanapun, bapa kepada empat anak itu tidak mendedahkan kandungan yang dimuat naik selain berharap individu terbabit memberi penjelasan mengenai tuduhan dia menumpang kisah kematian arwah isterinya.
“Boleh beritahu aku apa alasan kau untuk tulis ‘tunggang’ arwah isteri? Kau dah kahwin?
Dah pernah kehilangan orang tersayang? Hilang ahli keluarga? Apa perasaan kau kalau orang cakap kau tunggang kisah kematian ahli keluarga?,” soalnya.
Menerusi tangkap layar tersebut, Shuib mengingatkan wanita itu mengenai peristiwa menyaman individu tidak bertanggungjawab menyebar fitnah tentang arwah sebelum ini.
Aku pantang bila orang kaitkan arwah, bercakap buruk tentangnya. Kau faham?
“Kau tahukan saya pernah saman orang di mahkamah hanya kerana hantaran bodoh,” jelasnya.
Sebelum ini, kecoh seorang individu membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.
Enggan memanjangkan cerita, Shuib memaafkan individu terbabit dengan memintanya membayar sejumlah ganti rugi kepadanya.
Meskipun tidak berkongsi jumlah bayaran, Shuib mendermakan keseluruhan wang berkenaan kepada tabung Palestin. –HIBGLAM