‘Selagi suami isteri taat perintah Allah, segalanya dipermudahkan’

SELEBRITI popular Noor Neelofa mengakui dirinya belum layak berkongsi tip rumah tangga memandangkan usia perkahwinannya dengan suami tercinta, Haris Ismail masih hijau.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd Noor, 35, berkata, perjalanan melayari bahtera rumah tangga pasti akan dipermudahkan sekiranya mematuhi garis panduan yang sudah ditetapkan agama.

“Setiap perkahwinan ada susah senangnya. Mungkin jika dilihat dari segi luaran yang dikongsikan tampak bahagia. Namun bukan senang untuk jalani kehidupan bersama.

Perkahwinan saya dan suami baru setahun jagung. Tak layak untuk bagi nasihat panjang lebar.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan selagi  suami dan isteri mentaati perintah Allah dan ikut segala panduan yang ditetapkan dalam agama, Insya-Allah ada berkat dan dipermudah,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Kita&Co di sini, hari ini.

Neelofa yang hadir dengan ditemani suaminya berkata, dia sendiri banyak belajar tentang ilmu perkahwinan sesudah sah bergelar isteri kepada Hariz.

“Saya sendiri banyak belajar selepas kahwin. Saya belajar sama-sama dengan Hariz.

Kalaulah ilmu-ilmu ini saya tahu sebelum berkahwin, mungkin lebih mudah untuk saya lalui di awal perkahwinan.

“Jadi kepada adik-adik di luar sana yang ingin berkahwin, tolong belajar ilmu perkahwinan. Memang saya akan sentiasa galakkan. Adik-beradik saya pun lalui situasi yang sama dengan saya,” kongsinya.

Untuk rekod Neelofa dan Haris atau Muhammad Haris Ismail, 29, telah berkahwin pada 27 Mac 2021.

Sepanjang tiga tahun perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas,1. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok