Bella Astillah tiada kaitan isu Stacy tarik diri – Didi Astillah

PENYANYI Didi Astillah menegaskan tidak campur tangan atau kaitan dalam sebarang keputusan berhubung pengunduran Stacy daripada menyertai konsert A Night With Sumandak Stars yang dijangka berlangsung pada November depan.

Didi atau Dayang Nazilah Awang Astillah, 28, berkata, dia dan kakaknya iaitu pelakon, Bella Astillah bukanlah penganjur konsert berkenaan.

“Saya tidak tahu tentang pengunduran Stacy. Itu semua adalah daripada pihak penganjur dan saya hanya dapat tahu selepas membaca mengenainya dalam media sosial.

“Saya dan Bella tiada kena mengena. Kami hanya artis jemputan yang dipanggil untuk menyanyi. Saya anggap ini adalah peluang dan rezeki,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu pertama Famili Duo di sini, semalam.

Mengulas isu poster yang dikatakan meletakkan gambar Bella lebih besar daripada penyanyi lain, Didi akur akan tanggapan pelbagai pihak termasuk Stacy berhubung isu berkenaan.

“Gambar saya dalam poster ada atau tidak, itu hak pemganjur. Penarikan diri pun antara pihak pengurusan, juga saya dan Bella tiada kena mengena.

Kami hanya antara artis yang dijemput. Waktu mahu ke majlis sidang media tempoh hari itu pun saya tanya adakah perlu ke sana?

“Saya dan Bella dipanggil untuk menyanyi, kami harap ini rezeki untuk sama-sama membuat persembahan dengan artis tidak kisahlah siapa pun terlibat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak mampu menghentikan spekulasi termasuk wujud pihak yang meletakkkan kesalahan berhubung isu tersebut terhadap Bella.

“Kita tak boleh nak halang orang bercakap. Saya tidak tahu apa-apa dan tak boleh nak ulas perkara ini.

Awalnya saya hanya membuat kemunculan sahaja di konsert dan tidak tahu gambar turut ada dalam poster.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya dan Bella tiada kena mengena dengan sebarang hal pengurusan konsert,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, Stacy mengumumkan menarik diri sebagai salah seorang penyanyi yang akan beraksi pada konsert tersebut.

Difahamkan, perkara itu disebabkan wujud beberapa perkara yang tidak mendapat persetujuan bersama pihak penganjur.

Dia juga berkata, konsert tersebut pada awalnya diberi nama Bella & Friends dan kurang bersetuju dengan rekaan poster yang menyerlahkan wajah Bella.

Susulan itu juga ramai peminat meluahkan rasa kurang senang apabila lebih mengetengahkan Bella sedangkan ramai lagi barisan penyanyi lain memiliki reputasi bagus berbandingnya.

Selain Didi dan Bella konsert yang bakal berlangsung pada 30 November itu turut membariskan penyanyi wanita asal Sabah lain iaitu Marsha Milan, Nikki Palikat, Wani Kayrie serta Adira. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok