RASA bersalah untuk memuat naik gambar tidak menutup aurat dalam media sosial, pelakon Shasha Abedul mengakui itulah detik permulaan hatinya dijentik untuk berhijab sebulan lalu.
Berdepan proses perubahan, Shasha, 28, berkata, perasaan bersalah yang tercetus secara tiba-tiba membuatkannya percaya itu merupakan petunjuk untuk menjadi Muslimah lebih baik.
“Kalau mahu cerita fasal hidayah, memang itu datang sendiri. Cuma ada satu hari saya bangun tidur dan mahu memuat naik gambar (tak bertudung) dalam Instagram, tiba-tiba sahaja saya rasa bersalah.
Bukan itu sahaja, mahu keluar rumah pun saya rasa tidak selesa, seperti dihantui rasa bersalah sebab tidak menutup aurat.
“Orang kata hidayah dah sampai. Bila dah buat keputusan nak pakai tudung saya tak mahu berlengah sebab tak tahu jika perasaan sebegitu akan datang lagi atau tidak,” katanya kepada HibGlam ditemui pada sidang media drama bersiri Project: Exit, semalam.
Sudah lama berhasrat menutup aurat dengan sempurna, pelakon filem Hani itu mengakui niat suci tersebut sering tertangguh kerana enggan perubahan dilakukan tidak sepenuh hati selain takut kembali ke imej asal.
“Saya memang dah lama pasang niat, tapi saya jenis orang yang tidak mahu buat satu perkara setengah jalan. Saya mahu buat sungguh-sungguh.
Jadi saya pergi kelas agama dan fahamkan kenapa perlu tutup aurat, untuk siapa aurat kita.
“Saya tak mahu buat untuk mendapat pujian orang, apa saya lakukan sekarang adalah ikut perintah Allah,” dedahnya.
Paling penting kata Shasha, dia merasakan dirinya seperti mati hidup semula selain terus berdoa agar Allah tidak membolak-balikkan hatinya untuk kekal istiqamah di jalan yang benar.
Alhamdulillah (kekal istiqamah), saya berharap sangat Allah tak hilangkan rasa itu,” tuturnya.
Pada akhir September lalu, Shasha mengejutkan peminat apabila memuat naik foto mengenakan hijab selain memadam gambar-gambar menampakkan aurat dalam Instagram miliknya.
Meskipun tanpa sebarang pengesahan sama ada sudah berhijab atau sebaliknya, rata-rata peminat mendoakan yang terbaik buatnya agar terus istiqamah dengan perubahan dilakukan. – HIBGLAM