PENDAKWAH selebriti, Haris Ismail atau PU Riz menegur segelintir individu mempertikai suruhan Tuhan tentang kewajipan menutup aurat.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, berkata, kenyataan segelintir individu yang berpendapat tidak selesa memakai hijab kerana lari daripada identiti sendiri.
“Jarang saya nak beri komen tetapi kalau sudah melampau dan sebut, ‘lebih selesa tidak bertudung, inilah diri saya yang sebenarnya’.
Kita manusia tidak lari daripada kesilapan, namun dalam agama ini ada bahagian yang dipanggil malu dengan dosa dan cuba sebaiknya taubat apabila tersilap,” katanya dalam Instagram.
Tidak terhenti di situ, suami kepada selebriti popular Neelofa itu turut berkongsi hadis Nabi Muhammad SAW tentang larangan mempamerkan dosa.
Jelasnya, setiap manusia yang melakukan perkara dilarang Allah tidak seharusnya menafikan suruhan tersebut, apatah lagi mempamerkannya kepada umum.
Kita semua buat dosa, tetapi janganlah sampai nafi apa yang disuruh Allah. Ada larangan keras bagi yang mempamerkan dosa-dosa dilakukan.
“Malulah kita dengan dosa, sebab yang buat dosa pahala ini bukan bapa saudara kita, tetapi Allah yang menetapkannya,” jelasnya.
Tambah Haris, dia bagaimanapun enggan menjatuhkan hukum atau menghakimi mana-mana individu sebaliknya hanya berpesan sebagai peringatan.
“Belajarlah, jangan buat tak tahu. Kita tidak hukum sesiapa, cuma ingatkan sahaja.
Kalau rasa dalam hati, jadi sandaran semata-mata, memang akan binasa hidup ini.
“Syariat Tuhan hadir adalah untuk membimbing manusia,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE