Quranik Madani, kelas al-Quran percuma untuk rakyat Malaysia

PENDAKWAH bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd. Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, tampil dengan satu inisiatif baharu berskala nasional menerusi pengenalan program Quranik Madani, iaitu kelas pengajian al-Quran percuma yang terbuka kepada masyarakat Islam di seluruh negara.

Menurut PU Riz, inisiatif ini lahir daripada keinginan untuk melihat lebih ramai umat Islam, khususnya generasi muda, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut menguasai bacaan al-Quran dengan baik sebagai bekalan dunia dan akhirat.

PU Riz berkata, usaha ini berlandaskan sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

Tidak ada seorang pun dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang tidak menyukai kebaikan ini. Sebaik-baik manusia, kata Nabi SAW, adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. Jadi hari ini, kita mulakan satu inisiatif untuk menghidupkan kembali budaya membaca dan memahami al-Quran,” katanya.

Melalui Quranik Madani, PU Riz memperkenalkan beberapa komponen utama termasuk program hafazan awal yang dikenali sebagai Salat Satizah Quranik Madani, yang memberi fokus kepada kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun bagi membina asas kukuh dalam hafazan dan bacaan al-Quran sejak kecil.

Selain itu, program ini turut menyasarkan golongan dewasa yang mempunyai kekangan masa atau kesukaran untuk mendapatkan akses kepada kelas pengajian dengan menawarkan kelas al-Quran secara percuma, sekali gus memastikan tiada lapisan masyarakat yang tercicir daripada peluang mendalami kitab suci itu.

Dalam masa sama, Quranik Madani juga membuka ruang kepada golongan asatizah untuk meningkatkan profesionalisme menerusi program Pensijilan Profesional, yang bakal memberikan pengiktirafan kepada tenaga pengajar al-Quran.

“Kita juga memperkenalkan pensijilan profesional kepada ustaz-ustaz yang ingin bersama-sama dengan kita. Dengan pengiktirafan ini, mereka bukan sahaja boleh mengajar di peringkat komuniti seperti kampung dan masjid, tetapi berpeluang melangkah ke peringkat global, insya-Allah, dengan adanya pengiktirafan MQA,” katanya.

PU Riz menambah, program ini akan digerakkan secara inklusif dengan pendekatan turun padang ke pelbagai lokasi di seluruh negara, bergantung kepada permintaan komuniti setempat.

“Bagi mereka yang nak sertai, atau mana-mana kawasan yang nak kami datang, insya-Allah kita akan pergi dan bawakan pengajian ini secara percuma. Ini adalah usaha bersama untuk mengangkat martabat al-Quran dalam kehidupan kita.

Ingat, sesiapa yang mengangkat al-Quran, Allah SWT akan memuliakan dia di dunia dan juga di akhirat,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok