PRESTASI cemerlang dan setia ketika susah dan senang, pelakon Jung Hae-in menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada pengurusnya sebagai tanda apresiasi.
Ujar aktor berusia 36 tahun itu, kenderaan dibelinya itu merupakan hadiah paling mahal pernah diberikan kepada seseorang.
“Kami telah mengharungi susah senang bersama dan dialah yang menjaga semua perkara berkaitan karier saya.
“Pengurus saya antara individu yang setia bersama sejak awal kemunculan saya dalam industri seni,” katanya menerusi satu rancangan temu bual.
Tidak hanya kereta mewah, jejaka tampan itu turut menghadiahkan pengurusnya seutas jam tangan mewah.
Mahu balas budi, Hae-in berjanji pengurusnya menjadi orang pertama yang akan menerima hadiah daripadanya apabila dia sudah berjaya sebagai pelakon.
“Ketika mula-mula bergelar pelakon, saya tiada wang dalam simpanan. Apabila dia mendapat gaji, dia akan belikan saya makanan kegemaran saya.
“Bertahun-tahun dia buat perkara sama malah dia banyak berkorban untuk saya.
“Saya memang berazam dia akan jadi orang pertama saya belikan hadiah jika sudah berjaya sebagai pelakon,” katanya. – HIBGLAM