Tiada lagi persefahaman, pelakon Idzham Ismail mengakui berdepan kemelut rumah tangga sejak empat bulan yang membawanya dan isteri ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, semalam.
Begitupun, Idzham atau nama sebenarnya Muhammed Idzham Ismail, 36, enggan mendedahkan siapa yang memfailkan perceraian demi menjaga aib masing-masing.
“Cukuplah saya katakan kami sudah tiada lagi persefahaman dalam beberapa hal yang membuatkan tiada lagi penyelesaian lebih baik selain di mahkamah.
“Bukan tiada usaha untuk memperbaiki komunikasi dan sebagainya bahkan saya dan isteri turut berjumpa kaunselor bagi mendapatkan nasihat serta bimbingan pakar.
“Namun tiada perubahan. Jika tiada lagi persefahaman, hubungan jadi serba tak kena. Saya tak mahu anak-anak jadi mangsa keadaan tapi saya masih harapkan keajaiban,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya sama ada masih sebumbung, kata pelakon yang terkenal menerusi drama Juvana sejak 2011, dia dan isteri tetap serumah selain tetap melunaskan tanggungjawab masing-masing.
“Kami masih tinggal bersama dalam satu rumah. Awalnya ketika sepakat ke mahkamah memang saya ada tanyakan mengenai hal ini.
“Doakan semuanya berjalan lancar, kita cuma merancang, Allah yang tentukan. Pada akhirnya kita berserah kepada Tuhan.
“Bagi saya paling penting sekarang adalah emosi anak. Pada akhirnya mereka lebih utama bagi kami berdua,” ulasnya.
Pada masa sama, Idzham juga enggan mendedahkan tarikh sebutan pertama permohonan perceraian terbabit.
Bahkan aktor tersebut juga menangkis spekulasi pergolakan rumah tangganya berpunca daripada kehadiran pihak ketiga.
“Bukan hal curang, orang ketiga atau penyondol, hanya tiada persefahaman. Isteri saya bukan begitu, saya juga jenis utamakan keluarga,” tambahnya.
Terdahulu, pelakon drama Tarik Aku ke Syurga itu memuat naik status yang seolah-olah memberi bayangan wujud konflik dalam rumah tangganya.
Susulan itu, ramai menebak perkahwinan yang dibina dengan kru kabin, Nur Abilah Shamsudin kini sedang bergolak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Sofea Inara, 7, serta Muhammad Idrus, 4. – HIBGLAM