MENGAKU ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, pelakon Idzham Ismail belum bersedia untuk berkongsi butiran lanjut berhubung kunjungan ke premis terbabit.
Idzham atau nama sebenarnya Muhammed Pak Idzham Ismail, 36, berkata, perkara yang dilaluinya masih dalam proses sekali gus tidak membolehkannya membuat sebarang maklum balas.
“Assalamualaikum. Untuk setiap pertanyaan tentang kandungan InstaStory saya tu, saya tak boleh cerita dengan terperinci. Masih dalam proses,” katanya menerusi laman sosial.
Menerusi hantaran sama, Idzham yang mula menceburi arena seni pada 2011 menerusi drama Juvana hanya memohon orang ramai mendoakan keluarganya.
Sebelum ini, Idzham pernah memuat naik status yang seolah-olah memberi bayangan wujud konflik dalam rumah tangganya.
Susulan itu, ramai menebak perkahwinan yang dibina dengan kru kabin, Nur Abilah Shamsudin kini sedang bergolak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Sofea Inara, 7, serta Muhammad Idrus, 4.
Usaha mendapatkan Idzham tidak berhasil apabila mesej serta panggilan kepadanya belum dibalas. – HIBGLAM.