‘Bukan berlagak muda tapi mahu ‘blend’ dengan Gen-Z’

KEMUNCULAN semula Ayda Jebat menerusi lagu berentak pop EDM berjudul Memerang, ditambah lagi dengan imej seperti anak-anak sekolah mencetuskan sedikit pandangan sinis segelintir peminat.

Ada yang beranggapan, muzik dan konsep sebegitu sudah tidak lagi relevan buat Ayda.

Kata mereka pada usia 32 tahun dan memegang status sebagai isteri, juga ibu kepada dua orang anak, Ayda tidak lagi sesuai menyanyikan lagu yang bergenre pop EDM dan seharusnya menyanyikan lagu yang lebih bersifat lebih matang.

Sedar diperhatikan, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat bertegas, dia sekadar ingin memenuhi permintaan peminat yang rindukan lagu sedemikian daripadanya.

“Bukannya saya tak pernah buat lagu balada. Sebelum ini saya sudah hasilkan beberapa lagu balada seperti Mana Ada Hati, Better Than You dan Tak Bisa Lepas.

Bila kita asyik buat lagu balada, ramai pula yang bertanya bila nak keluarkan lagu seperti Pencuri Hati dan Temberang. Sudah lama tak dengar saya menyanyi lagu-lagu sebegitu.

“Jadi bagi saya, lagu Memerang ini membawa semula saya ke era ketika saya bermula. Inilah diri saya. Inilah muzik saya yang sebenar,” katanya kepada HibGlam.

Gen-Z

Tambah bintang yang kelahiran program Akademi Fantasia musim kesembilan itu, tiada had umur dalam berkarya tambahan pula muzik pula bersifat universal.

“Perkara yang melibatkan kreativiti dan seni adalah subjektif. Akan ada yang suka dan sebaliknya. Itu adalah lumrah.

Kalau nak cakap saya sudah tidak lagi sesuai menyanyikan lagu berentak pop EDM, disebabkan status saya sekarang, bagi saya itu pendapat mereka.

“Sewaktu saya muda dahulu, saya nak sangat kelihatan dewasa. Gaya dan penampilan saya lebih suka nampak dewasa. Rambut mesti nak kepuk-kepuk.

Tetapi bila semakin meningkat dewasa, saya rasa saya perlu ‘blend’ dengan Gen-Z,” kongsinya.

AYDA Jebat rahsia kos penghasilan video muzik Memerang yang dijangka lebih tinggi daripada karya-karya terdahulu.

Atas alasan sebegitu juga, Ayda turut mengundang beberapa pempengaruh media sosial dalam kalangan Gen-Z untuk turut sama-sama menjayakan video muzik Memerang yang menjalani penggambaran di Taman Tema Skyworld Genting Highlands.

Antara pempengaruh yang terlibat termasuklah, Leona dan Ceddy. Tidak hanya selebriti lokal, Ayda turut menerbangkan bintang dari Indonesia, Gabriel Prince.

Lebih manis apabila anak sulung Ayda, Ana Nayla turut terlibat dalam pembikinan video muzik berkenaan.

“Kami hanya mempunyai masa selama lapan jam untuk sesi penggambaran video muzik ini. Saya sendiri yang mereka koreografi tarian dalam video muzik.

“Memang agak mencabar kerana waktu yang sangat terhad. Tetapi semua yang terlibat dalam video ini memberikan komitmen yang sangat hebat.

“Begitu juga dengan Gabriel Prince yang sudi untuk terlibat dalam video muzik Memerang.

“Saya terjumpa dia di kedai makan. Saya terus tanya kalau dia mahu berlakon dalam video muzik saya Tak sangka dia setuju,” ujarnya.

Memerang

Melihatkan ramai pempengaruh terkenal dari Malaysia dan Indonesia yang terlibat, pasti kos yang dikeluarkan untuk menghasilkan video muzik berkenaan agak mahal.

Ayda bagaimanapun mendedahkan jumlah sebenar kos pembikinan video muzik Memerang.

Bercerita lebih lanjut tentang karya ciptaan sepenuhnya Ezra Kong, Memerang jadi berbeza apabila tiada sentuhan Ayda seperti kebanyakan lagunya sebelum ini.

Ditanya kenapa kali ini dia menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Ezra , kata Ayda Memerang sudah cukup sempurna di telinganya.

“Lagu ini sudah cukup sempurna. Kalau ada yang saya ubah pun mungkin satu dua perkataan yang saya rasa lebih enak kalau ditukar. Tetapi saya tak perlukan kredit untuk itu.

“Memerang sebenarnya dihasilkan untuk penyanyi lain sebagai lagu duet. Tetapi sudah tertulis menjadi rezeki saya dan dinyanyikan secara solo,” katanya.

AYDA Jebat kini berehat daripada sebarang tawaran lakonan kerana mahu fokus kepada anak dan nyanyian.

Melihat semangat Ayda, sebenarnya tidak semua artis di Malaysia yang mempunyai graf kerjaya yang cemerlang dalam kedua-dua bidang, lakonan dan nyanyian sekali gus.

Ayda antara penyanyi yang berjaya mengimbangi dua bidang tersebut dengan baik. Lagu dan drama lakonannya sering mendapat perhatian ramai.

Kali terakhir wajah Ayda muncul menerusi televisyen sebagai pelakon adalah menerusi drama Bukan Cinta Sempurna pada tahun lalu sebelum melahirkan anak keduanya.

Kata Ayda kini dia dalam fasa berehat dari dunia lakonan kerana mahu memberi fokus terhadap anak-anak.

“Buat masa sekarang memang saya tak ambil sebarang tawaran berlakon. Kadang-kadang rasa bersalah juga sebab ada penerbit yang kita kenal.

“Terima kasih kepada semua yang memberi tawaran. Tetapi buat masa sekarang saya belum bersedia berlakon.

“Tunggulah sehingga anak kedua saya, Aali Mateen boleh berjalan. Mungkin lagi tiga atau empat bulan lagi.

“Kalau boleh selepas ini saya mahu berlakon filem. Sudah agak lama saya tidak berlakon filem. Kali terakhir menerusi filem Pinjamkan Hatiku pada tahun 2017,” jelasnya.

Ayda juga bakal sibuk dengan sesi jelajah mempromosikan lagu Memerang di beberapa universiti serta kompleks beli-belah tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok