‘Cepat penat, rasa nak tidur’ – Nabila Razali hamil 6 bulan

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali mengumumkan dirinya kini berbadan dua dan dijangka bersalin pada Januari tahun depan.

Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32, menzahirkan rasa syukur dia dan suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani, 39, bakal menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga kecil mereka.

“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Fasa ini sebagai titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan, di mana setiap detiknya menjadi satu pengalaman berharga.

Saya percaya bahawa fasa baharu ini juga menjadi sebuah cerita indah buat saya dan suami. Doakan semoga perjalanan kehamilan saya ini dipermudahkan sehingga bersalin nanti.

“Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami dan kami tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan usia kandungan Nabila kini sudah memasuki enam bulan.

Sejak disahkan hamil, penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati itu mengakui mudah berasa penat dan memerlukan lebih banyak waktu untuk berehat.

Tidak dinafikan sekarang cepat penat dan lebih banyak berehat. Sebab sebelum ini bila bekerja, memang susah nak berhenti. Sekarang adalah waktu yang kita rasa nak tidur saja.

“Namun, saya masih komited melunaskan beberapa kerja yang sudah dirancang lebih awal. Apa pun, saya cuba untuk buat  sehabis baik,” katanya.

Berkongsi tentang keadaan dirinya sepanjang kehamilan, Nabila berkata tidak mengalami sebarang perubahan ketara melainkan selera makan yang makin bertambah.

Alhamdulillah, saya tidak ada apa-apa keinginan melampau dan alahan yang teruk. Hanya yang biasa saja. Kalau ada pun perubahan dari segi tenaga. Tapi, bagi saya ini perkara biasa bagi wanita hamil.

“Perkara lain, tentulah banyak makan. Selera makan saya bertambah-tambah. Apa pun, saya mahu nikmati sahaja perjalanan sepanjang kehamilan ini,” katanya.

Sekadar info, Nabila dan Nik Iruwan melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok