Terlalu ‘slowburn’, lagi filem seram gred C mat salih

SECARA umumnya, filem seram garapan pengarah Colm McCarthy berjudul Bagman yang masuk panggung sekitar hujung bulan lalu banyak celanya.

Penulis sebenarnya berasa di awang-awangan dideras adrenalin melihat poster rasmi filem terbabit namun, selepas menghabiskan durasi sejam setengah, rasa menyesal yang masih terkesan sehingga saat artikel ini ditulis.

Mengapa filem yang dibintangi pelakon Sam Claflin dan Antonia Thomas ini kurang berbaloi menjadi pilihan di pawagam? Ini sebabnya.

Pertama sekali, perjalanan filem ini sangat perlahan sehingga membuatkan audiens seperti penulis ingin meninggalkan bangku seawal 20 minit tayangan.

BAGMAN sebuah karya seram memaparkan naratif lemah dan perlahan.

Bukan tiada langsung momen seram tetapi disebabkan pace yang terlalu perlahan ‘menghancurkan’ elemen itu yang sepatutnya diadun cemerlang.

Ibaratnya sedang berlari untuk perlumbaan balapan 100 meter namun tidak bertemu dengan garisan penamat. Pelari dalam perlumbaan berlegar-legar tidak seperti ‘mengelak’ garis penamat.

Itu yang dirasakan penulis ketika menghabiskan pelayaran horror filem Bagman.

Keduanya, pelakon yang terlibat tidak meninggalkan impak sepatutnya dalam filem. Sam Claflin yang memegang watak utama sebagai Patrick seakan sesat dalam naskhah dijayakannya.

Apa yang melekat di minda penulis hanyalah Claflin sebelum ini dalam filem trilogi The Hunger Games. Itu sahaja.

Terjemahan karakter menakutkan Bagman dalam filem seperti ‘timbul tenggelam’ membuatkan audiens lari fokus.

Keberkesanan lakonan pelakon lain termasuk Antonia Thomas sebagai Karina dan Steven Kree Liam juga tidak langsung menebarkan rasa minat untuk menghabiskan perjalanan ke titik akhir.

Barangkali, ini adalah filem seram yang paling tidak meninggalkan dampak dalam jiwa penulis untuk tahun 2024.

Berkunjung ke pawagam pulang dengan verdict atau pandangan Bagman adalah filem seram gred C. Bahkan, filem-filem Malaysia lagi seram dan mengena tembakan serta terkandung naratif, lakon layar serta persembahan lakonan yang hebat.

Menyentuh tentang lembaga bernama Bagman, dari segi visual, karakter tersebut mempunyai 1,001 peluang untuk dilunaskan dengan cemerlang namun itu tidak tercetus dalam filem ini.

PELAKON Sam Claflin membawakan watak Patrick dalam filem Bagman.

Umpamanya, kalau pulang rumah sesudah menghabiskan tontonan memang tidak ingat langsung baru sahaja menghabiskan RM20 untuk sekeping tiket filem seram yang sepatutnya meninggalkan sedikit ‘trauma’.

Itu betapa tidak berbaloinya berkungjung ke pawagam menonton filem Bagman yang masih ligat ditayangkan di seluruh negara sehingga kini.

Bagaimanapun, barangkali penerimaan audiens itu berbeza-beza. Mungkin apa yang dicaturkan dalam penulisan ini berbeza penerimaan daripada orang lain yang sudah menonton.

Bagman mengisahkan tentang seorang bapa berdepan ‘raksasa’ yang menghantuinya sejak zaman kanak-kanak sehingga mengganggu gugat ketenteraman keluarganya apabila menginjak dewasa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok