DEMI mengangkat seni persilatan dan perjuangan wanita, Pertubuhan Teater Hidayah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kerajaan akan mementaskan Teater Nilamsari.
Pementasan teater yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober ini di Panggung Percubaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak itu menerokai perjuangan wanita dari perspektif srikandi.
Menurut Pengarah Teater, Yusry Kamaruzaman, mesej utama yang ingin disampaikan adalah tentang perjuangan untuk terus utuh agar tidak berpecah dan kasih sayang sesama manusia.
“Objektif persembahan ini melestarikan wadah seni untuk karyawan teater dan menyalurkan mesej yang baik kepada masyarakat.
Skrip ini ditulis untuk mengangkat warisan seni silat melalui perjuangan seorang wanita yang tidak di dendangkan.
“Melalui pementasan ini, saya berharap masyarakat dapat menghargai seni dan memahami nilai yang terkandung di dalamnya,” tambahnya.
Yusry turut menekankan pentingnya sokongan daripada sektor kerajaan dan jabatan berkaitan agar para penggiat seni dapat terus berkarya untuk bersama mengekalkan warisan budaya.
Teater Nilamsari bukan sahaja akan mempersembahkan seni mempertahankan diri tetapi menggabungkan pelbagai elemen termasuk komedi.
Saya amat berharap teater ini menjadi platform untuk menyemarakkan semangat wanita dalam dunia seni persilatan dan membuka mata masyarakat untuk menghargai seni dan budaya tanah air,” ujar Yusry.
Teater Hidayah dengan kerjasama utama UPSI dan rakan strategik Persatuan Penulis Dan Peminat Sastera Perak juga akan menampilkan persembahan khas oleh johan Sayembara Puisi Kebangsaan dengan adaptasi puisi Ke Sarang Cenderawasih.
Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Dr. Nurzuraina berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan badan bukan kerajaan persatuan (NGO) yang berpengalaman dalam industri untuk memberikan pendedahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi itu.
“Program ini sangat baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPSI agar mereka memahami bagaimana proses dalam industri berjalan.
Proses pembelajaran formal dan tidak formal adalah dua perkara yang berbeza, kita perlu menyatukan kedua-duanya supaya pelajar mampu berdaya saing di alam pekerjaan kelak,” katanya Dr. Norzuraina.
Teater Nilamsari mengisahkan gelanggang silat tertua memecahkan perpaduan dan persaudaraan penduduk Desa Permata gara-gara Tok Deraman, seorang guru silat dibunuh mereka yang tamakkan kedudukan dan kuasa.
Nilamsari anak gadis Tok Deraman seorang seorang yang tangkas dan berani menuntut bela di atas kematian bapanya.
Antara pelakon yang akan membintangi teater Nilamsari adalah Ruby Wahid, Kamarul AR, Ain Sufia, Salman Al Farisi, Khai Sabri, Apai Azha, Dean Sitara, Mardiana Ismail, Shahril Kamil, Azmi Daim, Pagiran Aduka, pelajar UPSI dan pesilat-pesilat daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Tiket berharga RM15 untuk dewasa, RM10 (pelajar), warga emas dan Orang Kelainan Upaya. Buat mereka yang berminat menyaksikan teater Nilamsari boleh dapatkan tiket menerusi laman sosial Facebook dan Instagram Teater Hidayah. – HIBGLAM