‘Pusing cerita? Demi Allah saya tak tahu’

PELAKON Abby Abadi kesal apabila pihak luar masih mempertikai kejujurannya dengan mendakwa sengaja pusing cerita mengenai respons diberikan berhubung berita kematian anak Marissa Dania, bulan lalu.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, menegaskan memang hanya mengetahui puterinya kehilangan anak yang dilahirkan pra matang selepas urusan pengebumian disempurnakan.

“Mengenai Marissa kematian baby saya memang tak tahu dan lambat dapat tahu.Demi Allah saya tak tahu.

“Ada yang kata saya pusing cerita. Tahu tapi buat tak tahu, aduhai, apa yang pusingnya? Saya dapat tahu lepas semuanya selesai,” katanya menerusi Insta Story.

Ibu kepada enam anak itu berkongsi luahan bagi menjelaskan kepada pihak yang masih sangsi apabila dia didakwa menjadikan hal kematian tersebut sebagai konten.

Abby juga terkilan apabila sesetengah individu masih sukar menerima kenyataan bahkan sanggup membuat tuduhan melulu.

“Kenapa susah sangat nak terima kenyataan saya? Semua nak kata kita buat cerita, buat konten. Ingat orang tak ada kerja ke,” ujarnya.

Sebelum ini Abby menyuarakan kesedihan apabila menjadi orang terakhir yang mengetahui berita pemergian anak Marissa dan Ahmad Aslam sehingga meraih simpati ramai.

Ketika itu, hanya bekas suaminya iaitu Norman Hakim sahaja yang dimaklumkan mengenai perkara tersebut membuatkan pelakon Gerak Khas terbabit berjauh hati.

Begitupun, ketika pertemuan dengan media dalam sebuah acara, Marissa memaklumkan bukan mahu berahsia sebaliknya Aslam lebih selesa berkomunikasi dengan bapanya.

Pada acara anjuran sebuah syarikat itu, Abby turut diundang sekali gus sama-sama mengikuti aktiviti senaman dengan Marissa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok