BINTANG muda kacak, Lorenzo Irmann, 20, mendedahkan dirinya sering menjadi buruan kaum sejenis.
Menerurut pelakon berdarah kacukan Melayu dan Itali itu, dia sering menerima mesej dalam akaun media sosial yang kebanyakannya adalah lelaki.
“Boleh dikatakan 70 peratus daripada mesej-mesej yang saya terima dalam Instagram adalah daripada lelaki.
Saya sendiri tak faham kenapa situasi seperti ini terjadi. Tetapi biasanya saya tidak layan,” katanya kepada HibGlam.
Lebih parah apabila ada peminat yang berani menghantar gambar serta video tidak senonoh kepadanya.
“Terkejut saya bila buka, tengok gambar dan video yang tidak sepatutnya.
Yang hantar pula lelaki. Saya pun lelaki. Apa yang mereka harapkan daripada saya?
“Setakat ini peminat perempuan tak ada pula yang buat perangai bukan-bukan seperti ini,” kongsinya.
Mengulas situasi beberapa selebriti terkenal ditawarkan bayaran lumayan untuk menjadi peneman, kata Lorenzo dia enggan mencari rezeki dengan cara yang haram.
Memanglah wang yang ditawarkan sangat lumayan. Tetapi kita bukan setakat teman makan sahaja. Penghujungnya nanti berakhir di ranjang.
“Saya mahu mencari rezeki yang halal. Biarlah saya berhempas pulas membanting tulang berlakon dalam drama berpuluh-puluh episod.
Yang penting hasilnya halal. Wang itulah kita nak sara diri, ibu bapa dan keluarga. Jadi biarlah daripada hasil yang berkat,” ujarnya.
Beralih soal kerjaya seni, terbaharu drama lakonan Lorenzo berjudul Ternyata Sebuah Bahagia kini hangat ditayangkan di saluran Astro Prima setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.
Dalam drama tersebut Lorenzo membawakan watak anak kepada Zamarul Hisham dan Che Puan Sarimah Ibrahim yang suka memberontak dan bencikan bapanya sendiri. – HIBGLAM