‘Sayangi diri sendiri’ – Fazura injak usia 41 tahun

Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-41 hari ini, pelakon Fazura berjanji untuk lebih menyayangi dirinya.

Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, berkata, perkara itu adalah permulaan baharu sempena usia matang tersebut.

“Permulaan sebuah janji, untuk lebih sayangi diri sendiri. 27.09.2024,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram.

Dalam perkongsian sama, Fazura turut memuat naik sebuah lukisan pemandangan di pantai diiringi lagu Oceans sekali gus menggambarkan perasaan yang dilaluinya ketika ini.

Menjengah dalam ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani ucapan selamat ulang tahun dan doa dari rakan selebriti dan peminatnya.

“Selamat hari jadi Fazura, doa kami sentiasa untuk awak. Semoga yang diimpikan termakbul,” kata netizen.

“Barakallahu fik umrik cantik dan baik hati Fazura,” komen penyanyi dari Indonesia, Melly Goeslow.

Sebelum ini, Fazura dalam sebuah perkongsian Instagram memaklumkan dia nekad mahu bercerai dengan suaminya, Fattah Amin demi mempertahankan maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak mereka, Nur Fatima Aisya.

Pada Rabu lalu, Fattah dimaklumkan tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap Fazura ketika proses perceraian mereka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Bagaimanapun, mahkamah tersebut telah menangguhkan ke perceraian pasangan itu ke tarikh baharu, pada 7 Oktober depan.

Pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila nekad memfailkan perceraian di mahkamah yang sama sekaligus meleraikan segala spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama Fattah.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Fatima. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok