‘5 pengawal peribadi perlu demi keselamatan Fazura’

Hadir ke mahkamah diiringi lima pengawal peribadi sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, pengurus kepada pelakon Fazura, Iman Tang menegaskan perkara tersebut merupakan keperluan keselamatan aktres tersebut.

Bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, Iman atau nama sebenarnya Nur Iman Tang, 49, berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk artis jagaannya itu membawa pengawal peribadi ke hadir majlis tertentu, bukan untuk bermegah mahupun konten.

“Pengawal peribadi? Itu adalah kebiasaan Fazura bila dia pergi ke majlis mana-mana, dia memang akan upah bodyguard.

“Saya sebagai pihak pengurusan, benarkan sahaja permintaan itu sebab sebelum ini, ada kejadian orang kurang sopan datang untuk bergambar tetapi ambil kesempatan.

“Macam semalam, kami tak tahu keadaan dekat mahkamah macam mana sebab berkemungkinan ramai datang termasuk peminat. Cuma saya berpesan dekat bodyguard supaya tidak berkasar dengan rakan media,”katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Iman lagi, dalam situasi sekarang, pihaknya enggan mengambil pusing tentang apa yang diperdebatkan netizen dalam media sosial.

“Bagi saya perkara tersebut tidak meniadi isu pun, kadangkala kita tak boleh terlalu ambil peduli tentang apa yang netizen katakan.

“Sebelum ini pernah Fazura pergi Mahkamah Tinggi tanpa bodyguard, keadaan jadi tidak terkawal dan dia dikasari peminat.

“Bila ada sesuatu jadi, mereka akan cakap pula takkanlah Fazura tak bawa pengawal peribadi, kan dah kena macam ini. Netizen pula yang ‘bantai’ kita, tapi bila ada mereka tanya pula kenapa sampai lima,” jelasnya pada majlis sidang media, Konsert Govinda, Hal Hebat, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada 13 September lalu, Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Kehadiran pelakon filem J-Revolusi itu ke Mahkamah tersebut mencuri perhatian apabila seramai lima pengawal peribadi ditugaskan mengiringinya.

Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok