SELEPAS kali terakhir terlibat dalam pementasan teater pada 2015 bertajuk Love Journey, pelakon Sharifah Sofea sekali lagi bakal muncul dengan karya baharu arahan Afiza Asram bertajuk Kerana Percayakan Siti.
Mengakui sangat merindui peluang untuk beraksi di atas pentas teater, Sofea, 39, bagaimanapun memberitahu dia agak gementar untuk menjayakan projek tersebut memandangkan Kerana Percayakan Siti dipentaskan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Biarpun begitu dia memilih untuk menyahut cabaran sekali gus membuktikan kepada khalayak bahawa dia kini aktif dalam bidang lakonan.
Meskipun terpaksa membawakan watak sebagai ibu, pemilik nama lengkap Sharifah Sofea Syed Hussein itu tidak patah semangat dan optimis meneruskan kerjaya seni.
Selain bercakap soal kerjaya, ibu tunggal dua anak itu turut berkongsi tentang kehidupannya kini setelah hampir lapan tahun bercerai dengan bekas suami, Syed Ismail Syed Ibrahim.
Sofea mendirikan rumah tangga dengan Syed Ismail pada 18 Oktober 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Sharifah Ariana, 13, dan Sharifah Ameera, 11.
Ikuti perkongsian Sofea tentang perjalanan seni dan kehidupan peribadi selain cabaran membesarkan dua anak sendirian.
HIBGLAM: Bakal muncul dalam pementasan teater Kerana Percayakan Siti, bagaimanakah perasaan Sharifah Sofea apabila kini dilihat semakin aktif dalam lakonan?
SHARIFAH SOFEA: Sejujurnya saya kembali aktif dalam bidang lakonan sejak lima tahun lalu. Saya agak gementar kerana pementasan ini memerlukan saya bertutur dalam bahasa Melayu.
Bukan sukar, tetapi sebab tidak biasa berbahasa Melayu. Bagaimanapun saya menyahut cabaran untuk menjayakan projek ini. Lagi pun saya memang sudah biasa dengan pentas pementasan dan pernah terlibat dalam naskhah seperti Love Journey dan Natrah.
Teater Kerana Percayakan Siti akan dipentaskan di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 4 hingga 6 Oktober nanti. Naskhah itu merupakan kompilasi tiga buat cerita arahan Afiza Asram iaitu Perempuan Bulan, Terang Bulan dan Sabalik Baju.
Saya terlibat dalam Perempuan Perang yang ceritanya mengisahkan seorang isteri bernama Laila cuba mempertahankan suami daripada dituduh melakukan perkara sumbang.
Bagaimanakah anda mendapat inspirasi untuk menjayakan watak Laila?
Saya dan Laila ada persamaan. Dia berjuang mempertahankan suami dan keluarga, manakala saya pula berjuang untuk diri dan anak-anak.
Kehidupan kami berbeza, tetapi gelora emosi dan perjuangan keluarga itu sama. Bahkan saya juga sudah lapan tahun berpisah dengan bekas suami dan membesarkan dua anak sendiri.
Kami bercerai sejak 2017. Bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal kerana saya bukan sahaja menjadi ibu, tetapi bapa, guru, pemandu, tukang masak dan segalanya untuk anak-anak.
Kini, saya juga sibuk menguruskan pusat latihan menyelam yang baru dibuka di Kuala Lumpur. Kami menyediakan pelbagai latihan aktiviti sukan air sebagai persediaan melakukan aktiviti menyelam di pulau.
Selain ada teater, lakonan lain bagaimana?
Sebelum ini, saya terlibat dalam siri From Saga With Love 2 dan The Secret. Saya juga ada beberapa drama dan telefilem terbitan RTM dan sebuah program digital iaitu travelog Kaki Mendaki.
Saya kini kerap mendapat tawaran melakonkan watak sebagai ibu.
Bagaimanakah reaksi anda apabila kerap diberi tawaran sebagai ibu?
Awalnya saya agak tersinggung kerana belum berusia 40 tahun, tetapi sudah membawa peranan sebagai ibu kepada anak yang sudah dewasa dan bekerja.
Dalam siri The Secret (terbitan Viu), saya melakonkan watak sebagai ibu kepada Siti Saleha. Walaupun dalam siri itu saya disolek untuk kelihatan lebih berusia, namun realitinya beza usia kami sekitar lima atau enam tahun saja.
Saya tiada masalah melakonkan watak ibu yang memiliki anak kecil atau remaja berbanding anak yang sudah dewasa.
Awalnya terkejut juga, tetapi saya fikir adakah ini watak yang perlu saya bawakan sekarang?
Ada juga produksi mengatakan sukar untuk memberikan watak ibu kepada pelakon berwajah kacukan.
Saya terima tawaran melakonkan watak sebegitu kerana ingin dilihat aktif dan relevan dalam industri. Setelah hampir tujuh tahun tidak aktif, jadi kini saya cuba menyibukkan semula diri semula dengan aktiviti lakonan.
Mungkin selepas ini saya minta meminta produksi tawarkan watak sebagai kakak dan bukannya ibu (berseloroh).
Rasanya ramai yang tidak tahu, boleh cerita tentang perceraian anda?
Saya tidak mahu bercerita panjang, tetapi apa yang boleh dikatakan punca kami tidak bersama kerana tiada persefahaman lagi dan hubungan kami menjadi tegang.
Kami berpisah dalam keadaan baik dan tetap berhubung demi anak-anak. Walaupun kalau diberi pilihan saya memang tidak mahu dia lagi dalam kehidupan saya, tetapi demi anak-anak kami tetap saling berhubung.
Saya tidak boleh halang dia jumpa anak-anak atau putuskan hubungan antara anak dan bapa.
Setelah lapan tahun berpisah, tidakkah anda terfikir untuk kembali bersuami?
Memang ada yang ingin mendekati, tetapi saya tak layan. Mungkin kerana sudah terbiasa hidup sendiri, saya tidak mahu membuang masa mengenali orang baharu. Bukan tidak mahupun pasangan hidup, tetapi saya tidak bertemu dengan orang yang sesuai.