PENGACARA dan penyampai radio DJ Sonic menyifatkan pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin mempunyai keperibadian yang baik serta tidak pernah bercerita hal buruk satu sama lain kepada orang lain.
Sebagai individu yang sering bekerja dengan Fazura, Sonic, 45, mengakui dia turut terkejut dengan tindakan aktres itu memfailkan perceraian selain mengharapkan pengakhiran yang baik buat rumah tangga pasangan berkenaan.
“Apa yang saya letak dalam InstaStory baru-baru ini adalah ikhlas dari hati. Saya rapat dengan Fazura dan Fattah serta keluarga mereka sebab sepupu saya berkahwin dengan abang Fazura.
“Saya sebenarnya tak mahu masuk campur dalam hal perkahwinan Fattah dan Fazura cuma harap yang baik-baik serta segala urusan mereka dipermudahkan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Berkongsi lanjut, Sonic berkata, Fazura mahupun Fattah sangat disenangi individu sekeliling kerana sering memberi aura positif.
“Fazura adalah individu yang selalu beri aura positif kepada kita. Dia tidak meluah dan tak bercerita buruk tentang Fattah sebaliknya berkongsi Fattah adalah lelaki yang baik sebagai seorang ayah.
“Keluarga Fattah dan Fazura sangat rapat sebenarnya. Jadi, apa yang belaku sekarang ini, kita doakan terbaik.
“Fattah adalah sebaik-baik manusia, Fazura juga begitu cuma saya tak boleh sentuh tentang apa yang berlaku sekarang,” katanya lagi.
Sonic menambah, bintang filem Pisau Cukur itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas tular kes perceraian dengan Fattah.
“Fazura tak pernah bercerita tentang rumah tangganya dengan saya. Pada hari tersebut (Fazura fail cerai), saya pun terkejut.
“Beberapa hari sebelum kes mereka viral, dia tak bercerita dan sangat okey,” ujarnya.
Sonic juga menambah perkongsiannya mengenai Fazura baru-baru ini turut mendapat kecaman ramai kerana dikatakan hanya bercerita kebaikan tentang satu pihak sahaja.
Tambahnya, Fazura juga tidak memberi sebarang respons mengenai perkongsian tersebut sebaliknya hanya menghantar emoji menangis kepadanya.
“Saya memang kena hentam dengan netizen sebab penulisan saya hanya berkaitan Fazura sedangkan saya tak sentuh pun hal rumah tangga mereka cuma cakap tentang keperibadian, itu sahaja. Cuma menjadi sesuatu yang kontroversi pula.
“Fazura hanya hantar emoji menangis kepada saya sebab dia tahu apa yang saya tulis adalah mengenai susah senang kami bersama dan dia pun tidak beri sebarang komen mengenainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sonic turut menyifatkan Fazura individu yang sangat murah hati kerana sering membantunya dari segi kewangan sejak detik pertama perkenalan mereka.
“Untuk makluman semua, saya bukan lahir dari keluarga yang senang. Ketika saya tiba di Kuala Lumpur dulu, Fazura yang banyak beri rezeki kepada saya.
“Setiap bulan saya tidak ada masalah nak beri wang belanja kepada keluarga di kampung sebabkan dia.
“Pernah suatu ketika, saya tiada duit, dia yang banyak bantu,” tuturnya.
Sebelum ini, Sonic mengundang perhatian ramai apabila memuat naik hantaran mengenai Fazura yang disifatkan sebagai seorang yang baik selain sentiasa menjaga keluarganya dengan penuh kasih sayang.
Terdahulu, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.
Difahamkan permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM