Mendebarkan! 5 filem suspens Korea wajib tonton

MINGGU ini bermulalah cuti panjang bagi pelajar sekolah setelah beberapa bulan mengerah tenaga untuk fokus dalam kelas.

Ada yang menggunakan masa cuti untuk ambil angin beriadah di destinasi pelancongan dan ada juga yang hanya berehat di rumah.

Sesuai untuk golongan yang berada di rumah, kalian boleh menghabiskan masa depan televisyen untuk menonton naskhah kegemaran yang sebelum ini tidak sempat diikuti.

Untuk peminat filem sejati, Daebak membawakan seleksi naskhah seram suspens penuh misteri dari negara kimchi paling seronok yang wajib kalian tonton.

A Tale Of Two Sisters

SELEPAS beberapa tahun dirawat di sebuah hospital mental, Su-mi lakonan Yum Jung-ah kembali bertemu semula adik kesayangannya.

Mereka pulang ke rumah bapa dan ibu tirinya. Namun, dua beradik ini mula mengalami perkara seram dan mimpi ngeri sepanjang di sana.

Kejadian membawa kepada pendedahan yang tak disangka-sangka.

Filem yang dibintangi Im Soo-jung, Moon Geung-young, Yum Jung-ah dan Kim Kap-soo dilancarkan pada 2003.

Naskhah berkenaan pernah memenangi anugerah Filem Terbaik dalam Fantasporto Film Festival pada 2004.

Burning

Mengisahkan Jong-su lakonan Yoo Ah-in telah terjumpa kawan lamanya, Hae-mi (Jeon Jong-seo) dan bersetuju untuk menjaga kucing kawan perempuannya itu sepanjang berada di Afrika.

Ketika menjaga kucing tersebut, Jong-su mula membayangkan tentang hubungannya bersama Hae-mi yang akan menjadi lebih rapat.

Namun, Hae-mi pulang membawa seorang lelaki bernama Ben (Steven Yeun) bersamanya.

Disebabkan cemburu, Jong-su mula menyiasat tentang Ben untuk mengetahui lebih mendalam mengenai lelaki itu.

Tanpa disangka-sangka, Ben rupa-rupanya mempunyai hobi yang pelik.

Filem arahan Lee Chang-dong tersebut dilancarkan pada 2018 mencatat kritikan positif rata-rata peminat.

Oldboy

Dae-Su merupakan seorang kaki botol dan sering keluar masuk lokap.

Suatu hari, dia telah ditangkap dan kemudia tersedar berada di dalam sebuah bilik berkunci yang hanya bertemankan sebuah televisyen.

Selepas 15 tahun berkurung, dia kemudian dibebaskan secara tiba-tiba. Dae-su kemudian mencari orang yang menahannya hanya berpandukan rasa dumpling yang menjadi makanan hariannya sepanjang dalam penjara.

Siapalah agaknya yang menghumban Dae-su ke penjara? Turut dibikin semula di Hollywood, namun hasilnya tiada tandingan dengan versi Korea, arahan Park Chan-woo.

Filem lakonan Choi Min-sik dan Yoo Ji-tae berkenaan menemui penonton pada 2003.

The Wailing

Di sebuah kampung di Goksung, Korea Selatan, terdapat seorang pegawai polis bernama Jong-Goo sedang menyiasat pembunuhan tragis yang berlaku disebabkan penyebaran penyakit misteri.
Semuanya berlaku selepas seorang warga Jepun datang ke kampung tersebut.
Naskhah yang menemui peminat pada 2016 berkenaan menyaksikan lakonan hebat Kwak Do-won, Hwang Jung-min, Chun Woo-hee dan Jun Kunimura.
Filem itu juga pernah ditayangkan untuk segmen ‘Out Of Competition’ dalam Festival Filem Cannes di Perancis pada 18 Mei 2016 dan di Amerika Syarikat pada 27 Mei, tahun yang sama

Memories Of Murder

Pada 1986, dua detektif diarahkan untuk menyiasat dua pembunuhan yang berlaku di kawasan mereka.

Namun, apabila sedang melakukan penyiasatan, muncul pula beberapa lagi kes pembunuhan dengan cara sama.

Mereka pun mula menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang mencari pembunuh bersiri pertama yang dilaporkan di Korea.

Naskhah berkenaan diadaptasikan daripada kisah benar dan pengarahnya juga adalah orang sama yang mengarahkan filem Parasite iaitu Bong Joon-ho.

Filem yang diterbitkan ada 2003 tersebut dibintangi Song Kang-ho dan Kim Sang-kyung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok