Osama Yamani membesar di rumah Pengasih selama 2 bulan

Pengalaman pernah membesar di rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menjadi antara kenangan yang tidak dapat dilupakan penyanyi Osama Yamani.

Kongsi Osama, 23, bapanya iaitu penyanyi Datuk Jamal Abdilllah pernah membawanya untuk tinggal bersama di rumah Pengasih selama dua bulan.

“Waktu itu saya berusia lapan tahun. Ketika itu rawatan baba (nama panggilan ayahnya) di Pengasih belum pulih sepenuhnya.

“Di sana baba mempunyai bilik khas sendiri dan hanya kami berdua sahaja di bilik itu.

“Walaupun usia saya masih kecil pada ketika itu, tetapi ada banyak kenangan yang saya tidak dapat lupakan bersama dengan penghuni rumah pengasih,” katanya.

Osama yang ditemui ketika sesi latihan muzik di sebuah studio muzik di Taman Melawati, di sini kelmarin turut memberitahu sepanjang tempoh berada di rumah pengasih dia tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Namun, atas beberapa faktor Jamal kemudian menghantar Osama ke pulang ke Ipoh, Perak untuk dijaga oleh keluarga.

“Sepanjang di sana saya tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa. Baba akan menghantar saya ke sekolah dengan sebuah kenderaan khas yang disediakan oleh pihak Pengasih.

“Pulang sekolah juga mereka akan jemput saya seperti biasa. Tetapi, disebabkan jadual kerja baba yang agak padat, dia tidak berpeluang untuk meluangkan masa menjaga saya di sana.

“Disebabkan itu saya pulang ke Ipoh dijaga oleh nenek. Tetapi jika waktu cuti sekolah saya akan bersama baba di sana,” katanya.

Berkongsi pengalaman membesar di rumah Pengasih, Osama berkata, dia mendapat layanan baik sepanjang tempoh berasa di sana bersama ayahnya.

Malah, penghuni Pengasih turut banyak memberikan nasihat dan tidak memberikan pengaruh negatif kepada dirinya.

“Penghuni di situ banyak menasihati dan saya sangat bersyukur kerana di kelilingi oleh orang yang dahsyat selain banyak menasihati saya agar tidak terjebak dengan perkara tidak baik.

“Walaupun masyarakat di luar memandang serong, tetapi pada saya mereka ini orang yang baik dan selalu mengajak melakukan perkara kebaikan,” katanya.

Sekadar info, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, pernah menjalani kehidupan di rumah Pengasih Bukit Tunku, Kuala Lumpur selama lima tahun pada 2011. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok