CERITA sahaja macam mana awak tergila-gilakan saya. Benda baik jangan malu.”
Itu kata pelakon Riena Diana yang selamba mengusik kekasihnya, Keith Foo ketika peminat meminta berkongsi detik pertama jatuh cinta.
Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berharap aktor berdarah campuran Cina dan India itu mendedahkan kepada khalayak cara menakluk hatinya yang sukar dimiliki.
“Tanya Keith la, sebab dia yang tergila-gilakan saya. Ceritalah jangan malu-malu, jangan malu-malu sayang.
Hampir nak bomoh sebab terlampau sukakan Riena Diana. Sebab saya tak pandang dia,” katanya menerusi sesi siaran langsung di TikTok.
Pasangan terbabit pada waktu itu sedangkan asyik menikmati makanan laut di sebuah restoran namun tetap melayani pertanyaan peminat.
Keith, 42, yang sesekali tergelak mendengar celoteh kekasihnya itu tampak segan bahkan wajahnya turut bertukar kemerah-merahan.
Puas mengusik, Riena yang juga bintang utama drama Kampung People itu mengambil peluang memuji sikap budiman teman lelakinya.
Menurut aktres terbabit, Keith individu tegas tetapi ada sisi humor yang menyenangkan.
“Dia sebenarnya seorang yang kelakar walaupun tak tunjuk sangat tapi pada masa sama dia sangat tegas.
Saya pula susah nak dengar cakap orang, tapi cakap Keith saya dengar. ‘Husband material’,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat terhibur dengan gelagat spontan kedua-duanya yang saling mengusik.
“Lawak dengar ‘part’ Keith sebut bongok,” kata seseorang netizen.
Serius, lelaki berumur akan kalah dengan perempuan banyak cakap,” komen peminat lain.
Pada Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.
Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu juga bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.
Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM