“Menyesal kahwin adalah sangat tepat. Saya berharap dia sedar dengan kenyataan saya dan ceraikan saya.”
Demikian luahan isteri kepada pelawak Shuk Sahar, Fara Salleh yang memberi bayangan mengenai rumah tangga mereka yang kini sedang goyah.
Dalam masa sama, sebilangan netizen mengatakan apa yang berlaku kepada Fara adalah balasan atas apa yang terjadi kepada bekas isteri Shuk iaitu Rossa Sera.
Enggan dijadikan bahan fitnah, Fara mempertahankan dirinya dengan memaklumkan dia bukan penyondol sebaliknya bekas peserta Raja Lawak itu sememangnya ‘kaki perempuan’.
“Saya tak pernah rebut dia dan dia bukan ada saya seorang sahaja kalau nak tahu zaman itu boleh tanya tuan badan sendiri.
“Allah saksi saya dan dalam kalangan kawan dia pun tahu tentang perkara ini.
“Saya juga simpan semua perbualan dia dengan wanita lain. Saya bukan punca (Shuk bercerai) dan saya tak pernah bersuara fasal ini kerana selama ini saya hanya diam,” ujarnya dalam Threads.
Netizen lain turut menasihati Fara agar mencari punca perubahan suaminya bagi menyelesaikan masalah rumah tangga.
Namun, Fara menegaskan bahawa sikap pemarah suaminya menyebabkan dia sukar mencari jalan keluar dari permasalahan mereka.
“Dia lebih percayakan kawan yang melindunginya. Banyak kali saya ajak ke kaunseling tetapi dia tidak mahu.
“Berapa ramai ustaz dah nasihatkan. Dia baran sangat tetapi kalau dengan orang lain dia tidak macam ini,” ujarnya lagi.
Meskipun meluahkan kekesalan mendirikan rumah tangga dengan Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, Fara enggan memperincikan punca membuat pendedahan terbuka itu.
Hasil pemerhatian HibGlam mendapati, Fara telah memadam hantaran tersebut.
Sebelum ini, Shuk mendedahkan dirinya sudah berkahwin kali kedua pada November tahun lalu namun mengambil pendekatan mengunci mulut tentang perkahwinan dengan Fara itu atas alasan belum masa untuk menguar-uarkan.
Terdahulu, nama Fara pernah menjadi bualan hangat apabila didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Shuk bersama bekas isteri.
Sebelum bersama Fara, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 tetapi bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun. – HIBGLAM