Cherry On Top teruskan legasi seni keluarga

SEGAR dan berbeza, barangkali itu gambaran tepat kemunculan band Cherry On Top dianggotai lima anak muda lelaki dan vokalis wanita yang hadir dengan pakej lengkap sebagai pemuzik sejati.

Bukan calang-calang malah penuh persiapan, bakat diwarisi daripada orang tua kumpulan tersebut tidak perlu disangkalkan lagi kerana mempunyai pengaruh besar dalam arena seni suara tanah air.

Hakikat bunyian dunia muzik yang sentiasa berkembang, Cherry On Top ibarat membawa nafas baharu dengan memadukan pelbagai genre dan gaya muzik.

Band terbabit tidak hanya berpegang kepada genre rock, tetapi juga mencampurkan unsur pop, fusion, dan R&B, menjadikan mereka sukar dikategorikan dalam satu genre sahaja

Ketua kumpulan yang juga pemain keyboard, Kuzan, berkata segala keistimewaan itu adalah hasil usaha keras dan bukan mudah untuk meraih populariti selain perlu menjaga nama baik orang tua masing-masing.

“Bapa saya, Raja Mohd Sham dan ibu, Zaira adalah pengasas label One Scream Studio. Walaupun jalan sudah terbuka luas, tapi itu tidak bermakna saya hanya mengharapkan bantuan mereka semata-mata.

“Bapa berpesan kami berusaha bersungguh-sungguh dan komited dengan kerja serta tidak buat sesuatu separuh jalan. Tak dinafikan, kami membawa nama bapa dalam kerjaya, jadi tanggungjawab jadi lebih besar. Ini kerana kalau boleh kami tak mahu nama bapa rosak disebabkan kami.

“Bapa juga memberi inspirasi untuk belajar muzik. Kalau tak lebih hebat, dapat setara pun sudah memadai,” katanya panjang lebar.

Bukan klise sebaliknya mengetengahkan elemen berbeza dalam album sulung, Kuzan berkata, semua olahan adalah atas idea dan persetujuan bersama dengan setiap anggota kumpulan.

“Sebelum ini, muzik lebih kepada rock, tetapi kami memilih konsep progresif rock untuk album pertama selepas mengetengahkan vokalis wanita. Kami juga mahu lebih bereksperimen.

“Selain itu, kami juga mahu muzik didengari oleh segenap lapisan masyarakat, bukannya golongan remaja semata-mata.

“Disebabkan itu, saya turut menyelitkan elemen muzik Electronic Dance Music (EDM) dan pop dalam album ini,” katanya.

Bertindak sebagai satu-satunya bunga dan vokalis dalam kumpulan, Holy berkata tidak kalah saing sebaliknya mengakui perkara tersebut memberinya banyak ruang untuk belajar dan menimba pelbagai lagi ilmu baharu dalam bidang seni suara secara berkumpulan.  

“Sebelum ini, saya banyak menyanyikan lagu ‘galau’ dan berentak balada. Jadi, agak sukar bila kena menyanyi rock. Ini kerana saya tak boleh nak menjerit seperti gaya penyanyi rock lain.

“Namun, saya tak nak paksa diri menjadi seperti orang lain dan saya akan cuba sebaik mungkin menyanyikan lagu dengan cara tersendiri,” ujarnya.

Band itu turut dianggotai Osama iaitu anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah, pasangan adik-beradik, Didi dan Bobo yang juga anak juga pengurus kumpulan DefGabC dan Ayen Tommy pula anak kepada pemain dram Wings, Black.

Buat kali pertama, Cherry On Top turut mempamerkan kemahiran bermain muzik menerusi lagu Ketagih yang disampaikan Holy secara duet dengan Datuk Syafinaz Selamat.

Diterbitkan oleh Kusham, album Cherry On Top memuatkan lima lagu. Antaranya, Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, selain Ketagih.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok