SIAPA sangka hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Farid Farok yang dahulunya bekerja sebagai kelindan lori kini mengapai cita-citanya untuk bekerja dalam bidang penerbangan.
Anak jati Johor berusia 24 tahun itu tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengikuti kursus Cabin Crew, Customer Service & Basic Ground Handling selama tiga bulan di Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.
Tekad untuk masa depan yang lebih cerah, Farid beralih bidang dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di bawah Malaysia Airlines.
“Selepas habis SPM saya terus bekerja sebagai kelindan lori, waktu itu fikir hanya untuk mencari duit. Namun, kesan jangka panjang bekerja sebagai kelindan lori adalah masalah kesihatan kerana perlu mengangkat barang berat selain terlalu banyak duduk di dalam lori.
Jadi, apabila terlihat peluang untuk belajar selama tiga bulan, saya cuba walaupun ketika itu langsung tidak tahu tentang dunia penerbangan.
“Alhamdulillah, saya belajar pada 2018 dan pada 2019 saya telah bekerja bersama Malaysia Airlines sebagai ground staff. Saya masih menimba ilmu kerana mahu cuba nasih menjadi pramugara,” tutur Farid.
Tambah Farid, meskipun langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang penerbangan, mengikuti pengajian di Kolej Meatech banyak membantu dia mempersiapkan diri untuk bekerja dalam bidang itu.
Saya suka bekerja dalam bidang penerbangan kerana selain suka melancong, minda saya makin terbuka apabila berurusan dengan pelanggan dari seluruh dunia,” kongsinya.
Sementara itu, seorang lagi alumni Kolej Meatech, Ainun Darayani Omar atau Dara, 28, yang sebelum ini merupakan pemandu pelancong dan juga pembantu klinik veterinar tidak menyangka percubaannya untuk terjun ke dunia penerbangan membuahkan hasil.
Sebaik sahaja menamatkan kursus selama tiga bulan, Dara terus ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari dan kini telah tujuh bulan terbang di awan biru.
“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pelancongan tetapi kerana pandemik Covid-19 saya kehilangan kerja.
Selepas itu, saya bekerja sebagai pembantu klinik veterinar. Walaupun pekerjaannya stabil, saya kurang minat. Oleh itu, saya cuba mengambil kursus tiga bulan dan tidak sangka terus dapat kerja selepas itu.
“Sejak bekerja sebagai pramugari banyak perubahan positif dalam diri ini terutama aspek disiplin dan juga kemahiran komunikasi,” ujar Dara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, perkembangan agresif industri penerbangan pada masa kini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Terutama selepas pandemik Covid-19, ramai pekerja mahir dalam bidang penerbangan memilih untuk tidak kembali bekerja kerana terikat dengan kerja lain atau punya perniagaan sendiri.
“Peluang untuk golongan muda memang terbuka luas kerana industri penerbangan memerlukan ramai pekerja bagi mengisi semula ekosistem yang sebelum ini terjejas kerana Covid-19,” ujar Kapten Mushafiz.
Batik Air sendiri telah membuktikan perkembangan positif apabila akan menambah 47 sehingga 50 pesawat pada tahun depan daripada 35 pesawat sedia ada.
Ini untuk Batik Air, belum syarikat penerbangan lain yang turut menambah pesawat masing-masing. Maksudnya lebih banyak perjalanan dibuka dan semakin ramai pekerja diperlukan.
“Jadi, dengan adanya kolej seperti Meatech memang sangat membantu kerana memudahkan syarikat penerbangan mendapatkan pekerja yang berkemahiran,” kata Kapten Mushafiz di Majlis Aviation Experience Day anjuran YEG Academy dengan kerjasama Kolej Meatech di Sama-Sama Hotel, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Pada majlis Aviation Experience Day itu, kira-kira 1,000 bakal pelajar hadir untuk mendengar perkongsian pengalaman felo kolej Maetech iaitu Zarul Umbrella dan juga wakil pekerja industri penerbangan.
Selain itu, Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech turut menawarkan program diploma untuk pelajar lepasan SPM seperti Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.