HASRAT tidak kesampaian, anak kepada penyanyi Allayarham Jay Jay, Kamelia mendedahkan bapanya menyimpan impian ingin memiliki sebuah kereta idaman.
Ujar, Nur Kamelia Mohd Fauzi, 28, permintaan tersebut diluahkan bapanya ketika masih terlantar di atas katil hospital, baru-baru ini.
Ayah tiada pun permintaan terakhir, cuma sebelum ini dia ada nyatakan hasrat untuk memiliki kereta jenama Volvo. Mungkin itu kereta idaman dia.
“Waktu itu ayah masih di hospital, dia kata nanti kalau dah keluar hospital nak beli kereta itu. Namun, saya anggap itu hanya gurauan,” katanya ketika ditemui HibGlam di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, di sini, pagi tadi.
Kamelia berkata, bapanya juga menunjukkan perubahan ketara apabila kurang bercakap selepas kali kedua diserang angin ahmar sejak April lalu.
Begitupun, dia memuji semangat juang ditunjukkan insan dihormatinya itu yang tidak berputus asa melawan kesakitan dilalui.
“Keadaan ayah semakin teruk selepas pembedahan jantung (bypass) kerana berlaku kegagalan pada beberapa bahagian organ dalaman.
Ayah sepatutnya dibenarkan pulang minggu lepas tapi terdapat jangkitan kuman dalam air kencing. Selepas itu organ lain pula mengalami kerosakan.
“Ayah juga mengalami dua kali serangan strok lepas raya. Disebabkan itu ayah kurang bercakap, tetapi saya puji kecekalan semangatnya melawan sakit,” luahnya.
Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus, 67, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson, Kota Damansara pada pukul 9.27 malam tadi.
Sebelum ini, anak Allahyarham memaklumkan bapanya dalam proses menjalani rawatan fisioterapi selepas diserang strok.
Katanya, arwah mengalami lumpuh pada bahagian tubuh sebelah kanan pada awal Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada 23 Mei lalu. – HIBGLAM