“TIDAK, isteri saya tidak mengandung. ”
Demikian respons pelakon Beto Kusyairi susulan tular video dia didakwa mengusap perut isteri di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) baru-baru ini.
Menurut Beto, mungkin ada yang salah faham apabila dia meletakkan telefon bimbit di riba Tisha Sahar sebelum naik ke atas pentas untuk mengambil trofi.
“Sebenarnya, saya mahu tinggalkan telefon bimbit atas pangkuan isteri,” katanya kepada HibGlam menerusi aplikasi WhatsApp.
Jawapan bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu sekali gus merungkai desas-desus yang bertebaran impak daripada video dikongsi netizen pada malam kemuncak ABP35, di Istana Budaya, Jumaat lalu.
Apatah lagi sebelum itu di acara karpet merah dikatakan kelihatan ‘baby bump’ Tisha yang mengiringi aktor berusia 43 tahun terbabit menuju ke Panggung Sari.
Pada majlis berkenaan, Beto atau NurKusyairi Zakuan Osman menggayakan baju Melayu rona putih lengkap bersamping dan memakai songkok.
Manakala isterinya selesa memilih abaya warna senada yang longgar, sekali gus disangka mahu menyembunyikan perutnya.
“Ini baju masa jadi pengantin dulu,” selorohnya ketika ditanya mengenai pemilihan persalinan dikenakan pada malam tersebut.
Penjelasan mengenai perkara itu turut dikongsi Beto di TikTok yang menyerahkan semuanya kepada ketentuan Allah selain menegaskan bahagia hdup bersama isterinya biarpun belum dikurniakan zuriat.
“Kecoh di Tik Tok mengenai keadaan isteri saya, ada yang kata nampak ‘baby bump’, mengandung dan sebagainya.
“Jadi, saya ingin jelaskan di sini, isteri saya tidak mengandung dan gambar yang diambil itu mungkin kerana sudut kamera.
“Saya dan isteri bukan menantikan cahaya mata, belum ada rezeki dan kami okay,” katanya.
Pada masa sama, dia turut menyatakan ketiadaan cahaya mata selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga bukan satu isu.
“Ini tidak mengganggu atau buatkan kami stress (tertekan). Cukup setakat itu sahaja kerana kami berdua gembira dan bahagia. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah,”luahnya lagi.
Pada ABP36, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 itu buat julung kali meraih trofi Aktor Filem Popular apabila mengetepikan Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Zul Ariffin dan Zizan Razak. – HIBGLAM