Kerana Allahyarham Jay Jay Ezad jadi vokalis Exists

“ARWAH Jay Jay insan yang pertahankan saya agar dikekalkan bersama Exists kerana pada ketika itu ada suara-suara berpendapat saya tidak sesuai menjadi penyanyi Exists.”

Demikian luahan penyanyi Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizad Mohd Lazim, 44, mengenang kembali budi Allahyarham Jay Jay terhadap dirinya.

Menurutnya, penghibur berpengalaman yang juga pemuzik dan komposer disegani itu adalah
individu yang bertegas meminta syarikat rakaman mengambilnya sebagai vokalis tetap band berkenaan.

Akui Ezad, andai bukan arwah Jay Jay yang dipanggil abang itu bersungguh-sungguh-sungguh mempertahankannya, tidak mungkin dia mampu berada di tempat sekarang.

“Arwah Jay Jay adalah insan yang bertanggungjawab menjaga vokal saya ketika rakaman album pertama bersama Exists.

“Antara kenangan sampai bila-bila yang saya ingat adalah dia mempertahankan saya untuk kekal dalam Exists kerana pihak atasan mahu mencari penyanyi lain yang lebih sesuai.

“Padahal saya sudah merakamkan lebih separuh lagu dalam album itu, abang Jay Jay bertegas dalam telefon (cakap) kenapa perlu cari lain,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Sekali gus, pemergian penggiat seni yang dihormati pada usia 67 tahun itu malam tadi meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepadanya.

Menurut Ezad lagi, disebabkan sokongan arwah juga dia mampu kekal bersama Exists hingga album terakhir kumpulan terbabit iaitu Paragon yang diterbitkan pada 2004.

Ezad dimasukkan dalam Exists pada 1995 bagi menggantikkan vokalis asal, Mamat seterusnya mereka menghasilkan album ketiga berjudul Diammu Gunung Berapi.

Anggota lain ketika itu adalah Musa selaku pemain bes, Ajai (keyboard), Shah (gitar) dan Ujang (dram).

Allahyarham Jay Jay bertindak sebagai penerbit vokal bagi projek album Exist berjudul Diammu Gunung Berapi terbitan 1995.

Terdahulu, peminat dikejutkan dengan berita pemergian Jay Jay akibat komplikasi penyakit di sebuah hospital di Damansara malam tadi.

Urusan jenazah disempurnakan di Masjid Al- Husna Bandar Sunway pukul 10 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya sebelum solat zuhur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok