Buli siber makin parah, undang-undang perlu diperketatkan – Fazura

PERNAH menjadi mangsa, pelakon dan usahawan Fazura berharap kerajaan akan menggubal akta yang lebih keras agar golongan pembuli siber menerima hukuman lebih berat.

Kata pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 41, undang-undang yang spesifik mampu menangani gejala tersebut daripada terus memburuk pada masa akan datang.

“Kita sebagai rakyat Malaysia memang sangat marah dengan isu buli siber sebab semakin hari semakin berleluasa sehingga ada yang meninggal dunia.

“Mudah-mudahan pihak kementerian terlibat dan kerajaan berusaha keras untuk memperuntukkan akta lebih tegas serta ketat bagi menangani isu ini.

“Kes membabitkan pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha baru-baru ini membuka mata banyak pihak bahawa isu buli siber sebenarnya sangat serius kerana boleh mengakibatkan kematian,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi,  fenomena buli siber sudah lama wujud malah semakin membimbangkan dengan penggunaan media sosial tanpa sempadan hari ini.

“Saya sebagai selebriti pun pernah melalui situasi dibuli dalam media sosial.

“Namun, selalunya saya biarkan semua itu berlalu begitu sahaja. Harapnya akan ada perubahan selepas ini dan kerajaan tidak ambil mudah isu yang serius sebegini,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan pempengaruh berusia 30 tahun yang juga aktivis Esha ditemui meninggal dunia di rumahnya, pada 8 Julai lalu iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Mendiang dipercayai mengalami tekanan akibat diganggu dengan komen jelik oleh beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu, sejak sebulan lalu.

Kes itu turut meraih perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mahu membentangkan isu buli siber dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini bagi mencari penyelesaian secara perundangan dan penguatkuasaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok