BERITA baik buat pencinta siri animasi Jepun, Beyblade apabila naskhah itu dapat ditonton menerusi saluran Astro Ceria bermula 18 Julai lalu.
Julung kali ditayangkan di stesen televisyen tempatan, animasi terbabit merupakan hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Takaratomy dan ADK Emptions Inc dengan syarikat tanah air, Animasia Studio Sdn Bhd serta One Universal Production Sdn Bhd.
Animasia merupakan pemegang lesen utama jenama Beyblade (bukan mainan, penerbitan & acara) di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei manakala One Universal Production bertindak selaku penganjur acara, rakan promosi serta pembangunan jenama.
Kerjasama itu turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi meningkatkan industri kreatif tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, pihaknya sudah lama menjalin kerjasama dengan Animasia.
Kita bekerjasama dengan Animasia sejak 20 tahun lalu dan syarikat ini memiliki hak penyiaran IP (harta intelek) antarabangsa.
“Dengan cara ini juga dapat membantu untuk mempromosikan hasil animasi anak tempatan di mata dunia,” katanya ketika majlis MOU di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Azmir memberitahu, Finas turut komited menyokong dan mempromosikan industri kreatif tempatan bagi menggalakkan lebih ramai pemain tempatan untuk bekerjasama dengan jenama mega antarabangsa seperti Beyblade.
Usaha ini dapat menambah baik industri kreatif kita dan membuka pintu untuk belajar daripada kejayaan jenama besar bagi mempertingkatkan pengalaman penonton baik dalam negara mahu pun di peringkat global,” kata Azmir.
Hadir sama dalam majlis MOU tersebut ialah Ketua Pengawai Eksekutif One Universal Production, Alvin Lee; Pengarah Eksekutif Animasia, Raye Lee; Wakil ADK Emptions Inc, Katsuki Masa dan wakil Takaratomy, Sayaka Negishi.
Untuk info, siri animasi itu menceritakan tentang pengembaraan watak utama iaitu Kurosu Ace, Kazami Bird, dan Nanairo Multi dalam mengharungi pelbagai cabaran untuk menakluki X Tower.
Sementara itu, penyanyi kumpulan rock terkemuka Jepun, One Ok Rock menyanyikan lagu tema animasi tersebut bertajuk Prove manakala bintang terkenal K-pop, Aespa lagu, Zoom Zoom. – HIBGLAM