MESKI berhadapan isu pelanggaran kontrak dengan syarikat pengurusan Metrowealth International Group (MIG), pelakon Hun Haqeem masih mengekalkan hubungan baik dengan penerbit David Teo.
Kata Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy, 26, segala konflik yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungannya dengan sesiapa.
Hubungan dengan David okey sahaja. Sebelum ini kami ada berbuka puasa bersama dalam satu acara dan saya ada tanya khabar dia serta isterinya, Jane.
“Sebelum ini pun saya pernah cakap, industri kita sangat kecil. Akhirnya, kita akan jumpa orang yang sama.
“Konflik yang berlaku tidak akan bawa ke mana-mana,” katanya kepada HibGlam semasa tayangan final Ke Kodiang With Love, baru-baru ini.
Ditanya mengenai perkembangan terkini kes berkenaan , pelakon drama Kampung People itu memaklumkan ia masih berjalan.
Tidak banyak yang perlu dikemas kini sebab masih sama. Kes ini pun berjalan sejak 2020 dan sekarang sudah masuk 2024.
“Kedua-dua pihak rasa memang patut diselesaikan dan bagi saya setakat ini semuanya berjalan lancar.
Harap isu yang berlaku ini dipermudahkan. Benda ini pun tidak rumit sebenarnya, nanti tengok apa hasilnya,” ujarnya.
Februari lalu, David mendedahkan mahkamah sudah memutuskan supaya Hun membayar ganti rugi sebanyak RM613,950 kepada syarikat miliknya, Metrowealth atas dakwaan perlanggaran kontrak.
David turut memaklumkan bahawa Hun sudah menjelaskan bayaran separuh daripada jumlah RM30,240.
Hun bagaimanapun terkejut David menghebahkan isu pelanggaran kontrak yang berlaku pada tahun 2020 itu kepada umum.
Sebelum ini timbul khabar angin mengatakan Hun angkat kaki dari MIG sejak Januari 2021 dan menguruskan diri tanpa bergantung pada mana-mana syarikat. – HIBGLAM