‘Hilang’ anak angkat, 2 tahun isteri menangis – Mark Adam

PENGALAMAN pahit anak angkat diambil semula ibu kandungnya meninggalkan kesedihan dan kesan trauma buat penyanyi Mark Adam dan isterinya, Norazah Redzuan.

Tidak sanggup lagi si isteri menanggung impak emosi memikirkan peristiwa tersebut, Mark enggan lagi memikirkan soal mengambil anak angkat.

Katanya, biarlah perkara tersebut menjadi urusan Tuhan dan dia tidak mahu terlalu berharap bimbang peristiwa lampau berulang kembali.

“Selepas enam tahun berkahwin, kami pernah mengambil seorang anak perempuan yang sangat comel berusia lapan bulan ketika itu.

Bagaimanapun setahun kemudian kami terpaksa menyerahkan semula anak itu sehingga isteri kerap menangis dan menanggung kesedihan yang mengambil masa untuk sembuh.

“Namun kami tidak pernah menutup pintu sekiranya ada rezeki untuk ambil anak angkat tetapi kami akan lebih hati-hati dan pastikan ada hitam putih serta mengikut undang-undang,” katanya kepada HibGlam.

Enggan bercerita panjang bimbang perasaan isteri terguris, pelakon dan pelawak itu mendedahkan sempat meraikan hari jadi pertama anak itu, sekali gus menjadi kenangan terindah mereka.

Menurut Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 45, mereka hanya menyimpan kemas segala memori selain menyibukkan diri dengan belajar berniaga dan menyertai karnival jualan.

Selain sibuk dengan pusat latihan vokal Akademi dan menguruskan karier seni saya, Izan (isteri) suka berniaga dan rajin belajar asas bisnes dengan mengikuti banyak festival jualan.

“Ikutkan perancangan jangka panjang kami memang nak serius dalam bisnes sebab dapat bantu famili serta buka peluang pekerjaan kepada orang lain.

“Buat masa ini kami berniaga ikut musim, macam biskut ketika bulan puasa serta barangan lain termasuk baju-baju ‘preloved’,” katanya ketika ditemui di Bazar Hujung Minggu Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, semalam.

Penyanyi lagu Pencuri itu bersama pasangan selebriti, Nad Zainal dan Ungku Ismail menyertai pasar komuniti anjuran hotel terbabit sebagai antara cara menyumbang semula kepada masyarakat dengan menawarkan jualan pada harga rendah.

Terdahulu perkahwinan Mark dengan Norazah atau dipanggil Izan yang kini sudah memasuki tahun ke-20 belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok