‘Ramai datang tengok sisa banglo Sharifah Aini’

SEJAK berita rumah agam milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang mempunyai sembilan bilik tidur dirobohkan tersebar, ramai individu datang ke Lorong Utara, Petaling Jaya.

Pengurus projek syarikat Al-Ambia Sdn. Bhd., Tang berkata, dia tidak pasti sama ada individu terbabit merupakan wakil media yang datang membuat tinjauan atau peminat serta kenalan pemilik asal.

Pengawal (keselamatan) beritahu ramai orang datang sejak Isnin lalu, rata-rata mengaku sebagai kawan kepada tuan rumah.

“Saya tahu Sharifah Aini seorang selebriti popular dan ramai peminat, jadi mungkin mereka datang nak tengok (bekas rumah) sebelum bangunan baharu dibina.

Kami okey sahaja sebab faham. Setakat mahu datang tengok tak jadi masalah,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Tang, operasi membersihkan tapak beberapa hari lagi dapat disempurnakan disusuli kerja pembinaan struktur asas bangunan baharu.

Lot ini dibeli Al-Ambia yang akan mendirikan bangunan pejabat bertingkat. Sekarang sudah hampir siap operasi membersihkan kawasan.

“Mesin besar untuk kerja binaan asas juga sudah dibawa masuk minggu ini. Jangkaan dalam beberapa hari lagi kontraktor boleh memulakan kerja.

Kalau ikut jadual projek ini tak ambil masa panjang sebab semua proses berjalan mengikut fasa dirancang,” katanya.

Berdasarkan tinjauan HibGlam, lori yang membawa mesin untuk kerja pembinaan asas sudah menurunkan beberapa peralatan besar di lot berkenaan.

Sharifah Aini yang menghembuskan nafas terakhir genap sedekad pada tarikh semalam iaitu tiga hari selepas meraikan ulang tahun ke-61 mewariskan banglo berkenaan kepada anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, 42.

Ahad lalu HibGlam melaporkan rumah agam berkeluasan 20,000 kaki persegi dilengkapi sembilan bilik tidur, tujuh bilik air dan lima ruang tamu itu sudah menyembah bumi sejak Mei lalu bagi memberi laluan kepada projek kelolaan pemilik baharu.

Daripada laporan awal, kediaman yang berada di pasaran hartanah sekitar 2018 pada harga RM8 juta bertukar tuan awal tahun ini dengan nilai belian didakwa separuh daripada kadar tawaran enam tahun lalu.

Rentetan pendedahan itu, ada dalam kalangan peminat dan pemerhati dunia hiburan tanah air meluahkan perasaan terkilan apabila kediaman penghibur tersohor itu dijual.

Tidak kurang menyarankan kerajaan mengumpul memoribilia dan anugerah hasil kerja lebih empat dekad Allahyarham di arena seni suara sehingga menghasilkan 140 album di sebuah galeri seperti rumah Seniman Agung Tan Sri P Ramlee di Setapak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok