SEPERTI asam di darat ikan di laut, jodoh boleh datang dari mana sahaja. Ada yang bertemu pasangan dalam kalangan insan terdekat, malah terdapat juga individu berkahwin dengan orang jauh.
Perkahwinan berlainan budaya, bangsa dan negara bukan sesuatu perkara asing bagi masyarakat global.
Meskipun sukar memahami budaya orang luar, tetapi ramai yang sedia memilih pasangan hidup dari negara asing atas dasar cinta. Daebak menyenaraikan selebriti K-pop yang bertemu jodoh berlainan bahasa dan budaya kehidupan.
Kim Tae-yong
PENGARAH Kim Tae-yong dan pelakon China, Tang Wei pernah bekerjasama dalam filem Late Autumn 2011 yang berbahasa Inggeris.
Selepas berkenalan selama beberapa tahun, akhirnya mereka mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan pada 2016.
Meskipun sudah 10 tahun berkahwin, Tang Wei mendedahkan dia masih berkomunikasi dengan suaminya dalam bahasa Inggeris kerana sudah terbiasa.
Malah, dia juga tidak boleh berbahasa Korea selain hanya belajar bahasa tersebut ketika menjalani penggambaran filem Korea Decision To Leave dua tahun lalu.
Song Joong-ki
SELEPAS berminggu-minggu spekulasi tampil dengan seorang wanita dalam satu acara di Singapura, pelakon Song Joong-ki akhirnya mendedahkan hubungannya dengan Katy Louise Saunders.
Dia mengejutkan ramai apabila mengumumkan sudah mengahwini wanita berdarah British itu pada Januari tahun lalu.
Selepas beberapa bulan, pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata yang dilahirkan di kampung halaman isteri iaitu di Rom, Itali.
Menurut media Korea, mereka bertemu di Itali semasa aktor berusia 38 tahun itu menjalani penggambaran bagi siri drama popular Vincenzo.
Ham So-won
PADA 2018, personaliti televisyen Ham So-won memilih pasangan hidup, Jin Hua yang berusia 18 tahun lebih muda daripadanya.
Detik perkenalan So-won bersama jejaka asal China itu bermula daripada program hiburan televisyen berjudul Taste Of Wife.
Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak berpanjangan apabila membuat keputusan untuk bercerai pada tahun lalu hanya untuk menyelamatkan keadaan.
Hal tersebut kerana bekas suami dan keluarga mentuanya tertekan akibat serangan komen jahat netizen yang berpunca daripada perlakuannya dalam sebuah rancangan televisyen.
Shin Joo-ah
SIAPA sangka jodohnya berada jauh beribu kilometer dari tempat tinggalnya. Itu yang terjadi kepada pelakon Shin Jo-ah yang berkahwin dengan ahli perniagaan Thailand, Sarawut Rachanakul pada Julai 2014.
Difahamkan pasangan terbabit bertemu melalui rakan dan akhirnya membawa perkenalan ke jenjang pelamin.
Pelakon berusia 40 tahun itu juga tidak fasih berbahasa Inggeris dan berusaha mempelajari bahasa Thai hanya untuk berkomunikasi dengan suami. – HIBGLAM