KENA dengan selera penonton, filem Zim Zim Ala Kazim arahan penyanyi Mawi meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta selepas seminggu ditayangkan di pawagam.
Meskipun asalnya dalam format super tele untuk tayangan atas talian dengan kos rendah, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 42, berkata keputusan menayangkan filem itu di pawagam adalah tindakan tepat dan berbaloi.
“Alhamdulillah, pertama saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini kerana ternyata sambutan yang diterima sangat baik sehingga meraih kutipan tinggi di pawagam.
“Saya memang tak sangka langsung, naskhah ini sebenarnya untuk televisyen, memang santai sahaja, tapi dengan gandingan semua pelakon termasuk Ustaz Kazim, mungkin itu penyebab utama filem ini mendapat sambutan.
“Malah, komen diberi mereka yang sudah menonton juga sangat positif. Saya fikir ini antara faktor filem saya mendapat sambutan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Impak sambutan luar biasa, ditanya sama ada ingin menerbitkan sekuel atau prekuel filem berkenaan, juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu berkata memang wujud perancangan sedemikian tetapi bukan lagi santai dan mengangkat genre sama.
Pun begitu kata Mawi, dia enggan meletakkan sasaran menggunung ke atas filemnya itu namun baginya setiap naskhah yang diterbitkan adalah sebagai platform untuknya berkarya.
“Memang ada perancangan untuk buat lagi filem, tapi bukan genre sebegitu, mungkin naskhah lebih berat sedikit.
“Saya tak meletakkan target tinggi, berharap keluar pawagam dan televisyen sahaja, pendek kata balik modal pun saya sudah bersyukur,” katanya serius
Sebelum ini, Zim Zim Ala Kazim yang memaparkan kisah pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim berdepan gangguan sihir dan mistik mencatat kutipan RM1 juta selepas tiga hari ditayangkan di pawagam.
Mawi yang turut membintangi naskhah berkenaan berharap agar filem arahannya itu akan terus mendapat sambutan hangat di pawagam.
“Selain mengarah dan berlakon, saya bertindak sebagai penerbit dan pastinya harapan saya agar kutipan filem ini terus meningkat,” katanya lagi.
Selain Ustaz Kazim dan Mawi, filem terbitan Mawi World Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan Rosnah Johari, Bell Ngasri, Anas Tahir, Man Raja Lawak, dan ramai lagi.
Zim Zim Ala Kazim adalah filem kedua arahan dan terbitan Mawi yang ditayangkan di pawagam selepas filem Tiada Tajuk. – HIBGLAM.