Leona nafi ada tiroid, leher ‘bengkak’ sebab lemak

PEMPENGARUH Leona menegaskan dirinya tidak menghidap penyakit tiroid pada bahagian leher seperti yang didakwa segelintir netizen dalam media sosial baru-baru ini.

Leona atau nama penuhnya Kasih Iris Leona, 22, berkata lehernya kelihatan bengkak bukan disebabkan penyakit berkenaan sebaliknya disebabkan pertambahan berat badan.

“Ini adalah kali terakhir saya mahu bercakap tentang ini (tiroid). Sejujurnya ini adalah privasi saya tetapi kalian tetap komen tentang perkara itu.

Saya sudah menjalani pemeriksaan kesihatan sebanyak dua kali. Untuk yang pertama saya buat ‘full blood test’ dan keputusan adalah bersih (tiada tiroid).

“Kemudian kalian masih bercakap, saya pergi lagi hospital dan saya buat sekali lagi pemeriksaan. Keputusan masih sama, bersih,” katanya dalam sebuah video.

Bukan sahaja pemeriksaan darah, anak kepada pelakon, Azhar Sulaiman itu turut menjalani ultrasound bagi memastikan dirinya bebas daripada sebarang penyakit berkaitan tiroid.

“Tidak hanya itu, saya juga buat ultrasound dan tiroid saya adalah saiz normal.

Yang tebal itu adalah lemak. Saya tidak sakit dan mahu beritahu, mata saya bukan sakit atau bengkak, tetapi hanya saiznya besar,” ujarnya.

Dalam video sama, dia mengakui turut berasa rimas apabila wujud segelintir netizen yang masih mempersoalkan tentang bentuk lehernya.

“Oleh itu, tolong berhenti bercakap tentang tiroid. Agak menyampah apabila anda ambil kisah tentang kesihatan saya sedangkan saya tahu semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

Terima kasih kerana ambil berat tetapi itu agak biadap berikan komen tentang badan orang lain okey.

“Bagaimanapun doktor turut menyarankan saya untuk mengurangkan berat badan bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan pada masa hadapan,” katanya lagi.

Sebelum ini, wujud segelintir netizen ‘prihatin’ dengan bentuk lehernya yang dikatakan bengkak sehingga didakwa menghidapi masalah tiroid.

Bukan sahaja leher, saiz mata Leona yang besar juga didakwa kelihatan tidak normal dan mempunyai kaitan dengan penyakit tiroid. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok