Awas! Naim Daniel tak bagi muka

PENYANYI dan pelakon popular Naim Daniel cukup terkenal dengan kelantangannya bersuara tentang sebarang isu, termasuklah isu Blockout 2024.

Biarpun Naim atau nama sebenarnya Naim Daniel Baharin, 27, tidak tersenarai sebagai artis yang diboikot tetapi kelantangannya menyebabkan dia turut menjadi mangsa kecaman sehingga menerima ugutan daripada netizen yang menggertak mahu membunuh ibu bapanya.

Bahkan ketika isu berkenaan sedang hangat diperkatakan, Naim mengakui tahap mentalnya teruk terjejas sehingga berasa sesak nafas.

“Masa isu ini sedang hangat, saya memadam hampir dua ribu komen di Instagram. Saya memang suka baca komen kerana anggap komen di media sosial antara teguran Allah untuk saya juga.

Tetapi apabila komen kecaman terlampau banyak sangat, saya tidak kuat. Saya jadi tertekan sehingga tangan menggeletar dan sesak nafas. Bayangkan daripada 1.4 juta pengikut, entah daripada mana komen itu datang, auranya sangat tidak bagus.

“Saya tertanya-tanya, apa salah saya? Adakah saya ini orang jahat? Mental memang sangat terganggu tetapi pada masa yang sama saya tetap perlu bekerja harus bersikap profesional,” kata Naim.

NAIM memadam lebih 2,000 komen yang tidak bertanggungjawab dilemparkan netizen dalam media sosialnya.

Kendatipun, perubahan ketara berlaku di ruangan media sosialnya selepas Naim mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis.

Dalam tempoh hanya dua hari, pelaku yang membuat ugutan bunuh itu telah ditangkap di Kemunting, Perak. Bahkan Naim dan keluarganya sempat bersemuka serta ‘membasuh’ pelaku itu.

“Saya, ibu bapa dan abang ada bertemu dengan pelaku itu. Budak lagi dan masih muda baru 23 tahun.

Saya tanya pada dia berbaloi atau tidak hanya kerana komen dalam Instagram saya dia ditahan polis selama empat hari dan berjumpa saya dengan keadaan tangan bergari.

“Pelaku itu minta maaf, tetapi saya ‘berceramah’ pada dia selama tiga jam. Budak itu tiada rekod jenayah lampau, orang yang baik tetapi kerana terikut-ikut trend, dia ditangkap polis.

Sekarang ini pelakunya telah dibebaskan dengan jaminan polis dan tindakan seterusnya saya hanya menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC),” ujar Naim.

Sepanjang lebih sedekad bergelar selebriti ini adalah kali pertama Naim mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen.

KINI jadual seninya padat projek muzik dan lakonan termasuklah filem dinanti-nanti ramai iaitu Projek: Kahar.

Niatnya hanya satu iaitu mahu memberi pengajaran kepada orang di luar sana bahawa setiap tindakan ada akibatnya.

Malaysia berada di tangga lima teratas di dunia dalam kategori buli siber. Budaya banyak berlaku terhadap selebriti kerana orang kita tidak melihat artis atau karyawan seni ini sebagai satu pekerjaan yang serius.

“Mereka menyifatkan artis ini hanyalah popular dan glamor, padahal apabila kami muncul di televisyen atau media adalah kerana kerja mencari rezeki.

Walaupun artis adalah hak orang ramai, tetapi itu bukan bermakna kami boleh dikecam dan dibuli sewenang-wenangnya. Malaysia ada undang-undang, jadi saya selesaikan mengikut saluran yang betul,” tutur Naim.

Sambung penyanyi lagu Sumpah itu, dia berharap tindakan yang diambilnya itu akan memberi kesedaran kepada orang ramai agar berhati-hati dan berfikir panjang sebelum menulis dalam media sosial.

“Pelaku yang membuat ugutan bunuh kepada ibu bapa saya menulis komen tidak sampai lima minit sebelum dia memadam komen tersebut. Saya rakam tangkap layar dan disebabkan itu dia ditangkap.

Selepas tindakan saya, ruangan komen dibanjiri dengan komen yang memahami situasi. Saya sangat berharap orang ramai mengambil kejadian ini sebagai satu pengajaran,” luah Naim.

Jelasnya lagi, tindakannya bersuara tentang isu Blockout 2024 bukanlah kerana tidak menyokong Palestin, tetapi tidak mahu kerana melihat bangsa dan umat Islam berpecah-belah.

Jelasnya, sebagai orang Islam sudah tentu hatinya menyokong Palestin, tetapi gerakan atau kempen itu tidak menghalalkan segala kecaman tidak berasas.

Cara menghina, mengugut dan membuat kecaman keterlaluan bukanlah cara Islam. Jangan kerana Blockout 2024 kita menghalalkan cara yang salah dan berpecah sesama Islam.

“Saya sebagai orang Islam, kita lihat dan tahu apa yang berlaku di Palestin. Sudah tentu hati saya bersama mereka, tetapi mungkin cara penyampaian saya tidak sampai kepada orang ramai yang menyebabkan saya turut dikecam,” kata Naim yang akan muncul sebagai panel tetap program variety popular, I Can See Your Voice (ICSYV) musim ketujuh. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok