“Ingin jadi hamba yang hebat, dia mesti diuji Allah SWT.”
Itu mukadimah kata pendakwah bebas, Ustaz Don apabila diminta memberi takrif tentang Hari Raya Aidiladha.
Bukan bermakna dia yang terpaling ‘teruji’ buat masa sekarang, namun sambung pemilik nama lengkap Don Daniyal Don Biyajid, 40, itu, zaman para nabi lagi tidak terbayang apa yang mereka lalui.
“Nabi Ibrahim hebat tapi baginda punya hebat berbeza berbanding nabi-nabi lain.
“Baginda adalah satu-satunya nabi yang ada khalimah atau gelaran wafa (kesetiaan) Allah kurniakan padanya dalam al-Quran.
“Nak sampai peringkat atau dapat gelaran itu, memang baginda diuji cukup luar biasa.
Teladani Nabi Ibrahim
“Dan, ujian yang paling besar buat baginda adalah apabila diutuskan untuk menyembelih anaknya sendiri (Nabi Ismail). Jadi, apa yang saya boleh takrifkan, siapa yang nak maju, memang kena diuji. Ujian akan tolak kita ke hadapan.
“Sebab itu, sesetengah orang kata, kalau kita nak duduk di takuk biasa pun, Allah akan jadikan sesuatu yang akan memaksa kita untuk naik ke atas,” ujarnya penuh pengertian mendalam.
Diberikan kesempatan dan rezeki menunaikan rukun Islam kelima iaitu haji pada usia 28 tahun, Don yang merupakan anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang turut berkongsi rutin lazimnya setiap kalinya datang Aidiladha.
Selain melakukan ibadah korban, beliau juga tidak akan melepaskan fadilat malam Jumaat terutamanya 10 malam pertama bulan Zulhijjah.
“10 malam pertama bulan Zulhijjah adalah benda besar kerana termasuk dalam waktu doa yang mustajab.
“Macam saya sekeluarga termasuk pekerja-pekerja di pejabat pun, memang takkan tinggal. Memang berebut.
“Keduanya, puasa. Saya ini pun bukan baik sangat, kadang-kadang tenggelam timbul. Tapi, kebiasaannya Hari Arafah memang akan puasa. Itu kalau dapat buat bukan untuk saya tetapi orang lain, orang cakap memang dah ‘terer’ (hebat) dah,” ujarnya lancar melentur bicara.
Pengorbanan
Punya harta dan pengaruh yang dipinjamkan Allah SWT, Don tidak melupakan ibadah korban yang setiap tahun akan dilakukan dan berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
“Buat korban. Saya seekor kambing. Isteri lagi dan mak ayah semua, kita buat korban,” ungkapnya ringkas seraya tersenyum penuh rasa rendah diri.
Melanjutkan perbualan, bapa kepada tiga orang anak itu turut menyentuh tentang pengorbanan terbesar yang pernah dilakukan olehnya sepanjang hampir 40 tahun berpijak di atas bumi ciptaan Ilahi.
Tidak mahu mendabik dada, beliau lebih rela berkongsikan kisah insan-insan hebat terdahulu yang banyak melakukan pengorbanan atas nama agama.
“Cakap tentang pengorbanan jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan para ulama, memang saya yang paling bawah.
“Imam Nawawi pernah berkongsi bahawa, waktu beliau menuntut ilmu tidak pernah meletakkan belakang badannya di lantai. Maknanya, beliau tidak pernah lena selama dua tahun.
“Beliau lena sikit sahaja, kita sikit-sikit lena (tertawa). Itu contoh pengorbanan orang hebat.
“Satu lagi contoh, cuba tengok Syeikh Daud al-Fatani menghabiskan hidup dengan mengarang kitab. Berapa banyak kitab beliau karang. Kita keluar satu kitab pun riuh satu kampung,” terangnya yang diselang-selikan dengan lelucon bersahaja.
Justeru, menjawab pertanyaan tentang pengorbanan terbesar dirinya sebagai seorang hamba Allah, jawab Don: “Tiada apa. Malu nak cerita sebab tiada apa yang saya buat berbanding insan-insan hebat lain.
“Hanya berusaha menjadi seorang Muslim yang sejati. Wallahualam.”
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.