MEMASUKI edisi ke-36, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 memperkenalkan satu kategori baharu di bawah media baharu iaitu Podcast Terbaik.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kategori baharu itu adalah bagi menyemarakkan penghasilan podcast atau audio siar berkualiti.
Podcast adalah satu trend baharu yang mempunyai pengikut, tambahan pula kini banyak podcast popular yang membicarakan pelbagai topik dan mempunyai kandungan bagus.
“Seiring perkembangan semasa, kita wajar memberi pengiktirafan kepada podcast yang berkualiti tinggi.
Menerusi ASA edisi kali ini, kami menyediakan kategori buat podcast sekali gus memberi pengiktirafan kepada penggiatnya,” katanya pada sidang media ASA 2024 di Kementerian Komunikasi, di sini, pagi tadi.
Selain kategori Podcast, ASA 2024 mempertandingkan sebanyak 60 kategori yang terdiri daripada 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio serta empat kategori media baharu.
Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga diumumkan pada malam kemuncak nanti, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan ASA 2024, Norhadznita Mohammad Ilham berkata, syarat penyertaan podcast adalah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi berlesen.
Podcast itu mestilah bersiaran di bahawa penyiar berlesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), maksudnya bukan podcast peribadi,” katanya.
Ditanya sama ada turut memberikan Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk Podcast Terbaik, Norhadznita berkata, penganjur akan membincangkan perkara itu.
“Sebelum ini hadiah berupa Dana Kandungan Kreatif diberi kepada Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik, untuk kategori lain musim ini kita akan tambah baik dari semasa ke semasa.
Apa pun, jika dicalonkan dalam ASA itu sudah bermakna peserta berada pada satu tahap berbeza disebabkan penjurian dibuat barisan pakar dalam bidang kreatif,” katanya.
Menurutnya, pencalonan bagi ASA 2024 bakal dibuka selama dua minggu bermula antara 1 Julai sehingga 15 Julai depan.
Acara pengiktirafan yang dianjurkan sejak 1972 itu adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Komunikasi untuk mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air serta penggiat seni belakang tabir.
Syarat utama penyertaan ialah semua pencalonan perlu melalui organisasi penyiaran berlesen dan kali pertama disiarkan di stesen penyiaran serta platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.
Semua stesen penyiaran kerajaan dan swasta boleh merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui www.anugerahseriangkasa.gov.my. – HIBGLAM