Dolla tak canggung bertiga takluk Nusantara

PERTENGAHAN Mei lalu nama Dolla hangat diperkatakan apabila muncul bintang baharu, Ella Thong mengeluarkan kenyataan ‘berani mati’ tidak langsung mengenali kumpulan tersebut.

Pantas sahaja hal tersebut tular di gelanggang media sosial sehingga ada menyifatkan kenyataan tersebut bersifat angkuh dan sombang.

Namun, hal sebegitu dianggap kesilapan biasa yang berlaku sementelah setiap manusia juga bukan sempurna.

Kata Tabby, perbuatan tersebut dapat menjadi pengajaran buat mereka agar lebih berhati-hati pada kemudian hari.
Sama seperti pegangan Dolla yang lebih senang mengamalkan sifat rendah diri dan sentiasa menjaga hubungan sesama kenalan industri.

“Pada pandangan kami, hal itu bukanlah masalah besar memandangkan mereka juga masih baharu dalam industri ini. Harap pada masa depan dia akan dapat belajar.

“Kami sendiri masih baharu dalam industri. Jadi untuk memberi nasihat, rasanya (kami) bukan orang yang sesuai.

“Tetapi apa yang boleh dikatakan, paling utama tahu apa yang ingin mereka lakukan dan buat dengan sepenuh hati. Amalkan rasa rendah diri dan berbaik dengan orang lain,” ujarnya seraya melemparkan tersenyum.

SELEPAS berjaya mencipta nama menerusi program televisyen China, Show It All, Dolla berazam untuk memperluaskan lagi pengaruh muzik mereka di negara Nusantara dan Asia Tenggara.

Melanjutkan perbualan mengenai persembahan yang bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur 3 Ogos depan, Dolla buat julung kali tampil dengan konsert sulung mereka iaitu Dolla Re:Birth Experience.

Bakal membuat persembahan sekitar 90 minit, kumpulan yang dianggota oleh tiga dara jelita iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel itu akan mempersembahkan hampir kesemua lagu mereka nanti.

“Kami akan mempersembahan kesemua lagu yang ada memandangkan terdapat banyak lagu yang belum pernah dipersembahkan secara ‘live’ di depan penonton.

“Beberapa penyusunan muzik dan koreografi tarian akan diubah bagi memberikan pengalaman baharu kepada peminat,” kata Tabby.

Mengulas mengenai tajuk konsert, Sabronzo memberitahu, pemilihan rebirth yang membawa maksud kelahiran semula itu merupakan cerminan kepada kumpulan tersebut yang bakal tampil dengan gaya dan pesona baharu.

“Kata rebirth itu dipilih sebagai simbolik kepada evolusi Dolla dan langkah berikut kami dengan imej Dolla yang lebih matang.

“Ini juga akan menjadi kejutan kepada penonton yang bakal hadir ke konsert kami nanti. Malah konsert itu juga akan ada beberapa perubahan bagi menampilkan kelainan,” terangnya.

Dolla bakal mempersembahan kesemua lagu nyanyian mereka sepanjang 90 minit persembahan konsert Dolla Re:Birth The Experience.

Terdapat empat kategori tiket konsert Dolla yang boleh dibeli di www.hitmanlive.com iaitu Classic pada harga RM149, Impikan (RM259), Damelo (RM199) dan Bo$$ Up (RM9,888).

Menariknya, peminat akan mendapat pelbagai barangan menarik bagi setiap pembelian tiket termasuk ‘light stick’ manakala tiket Bo$$ Up pula membolehkan mereka hadir ke acara ramah mesra bersama Dolla.

Dalam pada itu, konsert tersebut turut menjadi batu loncatan buat Dolla mengembangkan lagi sayap mereka ke persada muzik antarabangsa.

Meletakkan sasaran untuk meneroka pasaran negara Asia Tenggara, Dolla menanam impian untuk membuat persembahan di Thailand dan Indonesia.

“Sasaran kami pada masa hadapan untuk pergi ke Nusantara dan mengeluarkan album baharu. Tambahan, pada konsert itu juga kami akan pertama kalinya memperdengarkan single terbaharu.

“Persembahan di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai satu permulaan. Diharapkan peminat dari Singapura juga dapat hadir sama. Konsert ini juga merupakan langkah awal kepada beberapa perancangan besar lain,” jelas Sabronzo atau nama lengkapnya Wan Sabrina Wan Rusli.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok