SEBELUM munculnya gerakan kempen Blockout 2024, industri hiburan tanah air terlebih dahulu dihangatkan isu deretan sutradara memboikot artis bermasalah.
Enggan isu boikot hanya hangat-hangat tahi ayam, penulis sempat bertanyakan pendapat pelakon dan pengacara Amyra Rosli yang sudah bergandingan dengan ramai pelakon, termasuk yang diboikot.
Datang dalam industri bukan untuk mencari musuh, bagi pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli, sebab itulah dia tiada masalah dan terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.
Tegasnya, dia hanya bersikap profesional sebagai pelakon selain enggan turut larut dalam sebarang isu mahupun masalah peribadi regu lakonan.
“Isu boikot yang diambil produksi membabitkan artis bermasalah, di luar bidang kuasa saya. Saya bukan bekerja dengan pelakon itu sahaja, sebaliknya ada pengarah dan kru di lokasi penggambaran.
“Sebagai pelakon, saya hanya buat kerja sendiri dan tidak campur dalam masalah peribadi orang lain.
“Bukan pilih regu lakon tetapi saya selektif mengambil watak, mana karakter yang sesuai dan kena dengan saya, memang saya pilih sahaja, maklumlah, saya ini isteri orang,” katanya serius.
Ditanya, apakah sifir yang diamalkan sehingga bebas daripada kontroversi murahan, pelakon drama Nur itu mengakui sentiasa menjaga batas dalam tindak-tanduk demi menjaga air muka suami dan keluarga.
Katanya, dia hadir ke dalam industri untuk mencari rezeki di landasan yang sebenar bersandarkan bakat dan bukan kontroversi murahan.
“Untuk mencipta sesuatu kontroversi demi nama disebut-sebut sememangnya itu bukan saya, banyak hati yang perlu saya jaga, keluarga, suami, mentua dan ramai lagi.
“Bagi saya, kalau mahu cari rezeki berkat, kena berada di landasan yang benar, kalau mahu terkenal semata-mata, perkara itu sekejap sahaja. Jalan dengan cara yang betul sahaja.
“Saya datang dalam industri bukan untuk main-main, ini kerjaya,” tegasnya.
Seperkara lagi, ibu kepada dua anak itu bersyukur kerana semua pelakon dan hero gandingannya sudah faham prinsip, selain menghormati dirinya yang sudah berhijab.
“Semua pelakon yang bergandingan dengan saya akan tanya dulu mengenai babak bersentuhan dalam lakonan, mereka tahu status saya sebagai isteri orang dan tidak mahu timbul kontroversi bukan-bukan.
“Macam Amar (suami) pula, dia tidak pernah letak syarat atau menghalang apa pun, tetapi saya sendiri berusaha untuk menjaga batas dan mengelakkan babak bersentuhan dalam lakonan.
“Contohnya, dalam drama Bunga Salju, saya terpaksa pegang Hisyam yang lakonkan watak Azizi juga penghidap autisme dengan berlapik ketika menenangkannya yang mengamuk dalam satu babak,” jelasnya panjang lebar.
Amyra kini hangat mempromosikan drama Bunga Salju pula arahan sutradara hebat Ejump Mohd.
Drama tersebut turut menampilkan pelakon seperti Hisyam Hamid, Hariz Hamdan, Zul Huzaimy, Zarina Zainoordin dan Hasnul Rahmat. – HIBGLAM