BUKAN kedudukan nombor satu jadi sasaran Zayan FM sebaliknya manfaat dan impak dalam perkongsian dakwah sebagai saluran Islamik menjadi keutamaan stesen radio itu.
Menurut Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, pihaknya lebih memberi fokus kepada industri muzik nasyid dan penyampaian informasi dakwah kepada masyarakat.
“Kami mungkin tidak terlibat untuk mendapatkan ranking tersebut kerana lebih memberi fokus kepada pengisian yang bermanfaat. Liga radio Islamik berbeza berbanding yang lain.
Lagipun ‘ranking’ adalah satu ‘panggilan’ yang diberikan pendengar jadi Zayan belum lagi cenderung ke arah itu. Tumpuan kami lebih kepada memartabatkan lagu nasyid, menyampaikan zikir dan bacaan surah yang ditauliahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada pendengar,” katanya kepada HibGlam semalam.
Pada masa sama, Wan Syahrul menzahirkan rasa gembira apabila jumlah pendengar Zayan menunjukkan peningkatan positif.
“Saya bersyukur apabila angka pendengar Zayan semakin meningkat. Diharapkan perkembangan positif ini berterusan pada masa akan datang.
“Tidak hanya itu, saya mengharapkan penyampaian dakwah dan juga informasi yang dapat membawa kebaikan kepada pendengar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zayan turut mendapat pengiktirafan Persatuan Munsyid Malaysia sebagai stesen radio yang mempromosikan industri nasyid tempatan.
Penghargaan ini sangat bermakna buat kami apabila menjadi satu-satunya stesen radio yang memelihara dan memberi peluang kepada penggiat muzik nasyid tempatan untuk berkarya.
“Pada masa sama penghargaan ini juga menjadi kelebihan buat kami yang menjadi platform penggiat muzik nasyid bertepatan dengan slogan Zayan iaitu Destinasi Nasyid Anda,” ujarnya.
Untuk info, Zayan merupakan stesen radio berbahasa Melayu kendalian Astro Radio yang mula bersiaran pada Oktober 2017.
Barisan penyampainya terdiri daripada Faizal Ismail atau FBI, Mawi, Anas Tahir, Lin Ariffin, Hazwan Shah dan Tajdid Hadhari. – HIBGLAM